20 PIALA DALAM 10 TAHUN, JDT MEMANG PANTANG DICABAR

 

Pertama sekali tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila muncul juara Piala FA 2022 sekaligus piala ke-20 kelab sejak ditubuhkan pada 2013.

Dua puluh. Bukanlah angka yang kecil dan bukanlah perkara yang mudah untuk dicapai. Dua puluh piala ini jugalah yang menjadikan JDT semakin baik dan semakin kuat saban tahun mencipta sejarah demi sejarah meskipun menyebabkan ramai patah hati.

JDT dan semangat juang ala ketenteraan sememangnya satu perkara yang relevan kerana pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mempunyai latar belakang ketenteraan yang hebat.

Harimau Selatan ini pantang dicabar walaupun dalam apa juga keadaan yang dihadapi. Ketika ada seorang presiden dari kelab lain yang menyeru seluruh Malaysia menentang JDT, disitulah JDT muncul dengan segala kekuatan untuk menakluk lawan yang jelas hanya kuat di dalam laman sosial.

Cukup sekali sahaja dicabar, JDT akan menghadapinya dengan senyuman dan akhirnya melompat lebih tinggi dari para pencabar yang masih tertatih melihat Harimau Selatan berada di atas normal kelab bola sepak tempatan.

Aksi di atas padang yang memukau, sorakan yang padu, permainan yang bersih dan gol yang cantik cukup untuk membuatkan semua penyokong JDT tersenyum dan merayakan kemenangan dengan cuti umum yang menggembirakan semua.

Walau apa pun cabaran dan tohmahan diberikan kepada JDT, niat JDT hanya satu iaitu layak ke final dan menjuarainya kerana ini adalah JDT. Perkara yang disulam kemas dalam hati dan minda setiap pemain dan para penyokong yang jelas dengan misi dan visi kelab ini.

Bergembiralah dengan kejayaan piala ke-20 ini kerana mungkin dalam dua minggu lagi JDT akan menambah koleksi piala kepada 21 dengan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan mungkin piala ke-22 menyusul pada penghujung tahun pula.

Kesemua piala ini akan menjadi kenangan terindah buat kita semua. Teruskan sokongan dan tunjukkan kepada semua ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply