TERIMA KASIH KAPTEN FANTASTIK SR8

 

TERIMA KASIH KAPTEN FANTASTIK SR8

Safiq Rahim meninggalkan pasukan JDT. Ini adalah satu kenyataan yang sukar ditelan oleh semua penyokong pasukan JDT. Kapten kesayangan kita sudah tidak lagi bersama-sama berjuang untuk musim 2019.

Berita yang mengejutkan kita di bulan November ini janganlah kita ambil sebagai berita negatif. Ya kita harus berasa sedih tetapi inilah bola sepak. Pemain datang dan pergi yang kekal hanya kelab dan penyokong.

Safiq Rahim antara pemain awal yang dibawa masuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) ketika beliau menjenamakan semula pasukan Johor FC dan Johor FA kepada JDT. Beliau diakui antara kapten terbaik yang pernah dimiliki dalam sejarah kelab.

Aksi beliau di tengah padang sememangnya memukau. Beliau bijak membuka gerakan kepada penyerang untuk menjaringkan gol. Beliau juga adalah seorang pakar situasi bola mati. Semua orang akan mengingati sepakan percuma berbisa beliau.

 

 

6 tahun bersama JDT, Safiq berjaya merangkul 11 piala. Bukan calang-calang pencapaian beliau. Berkhidmat di bawah ramai jurulatih dari Fandi Ahmad hinggalah ke Raul Longhi, beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan JDT.

Kejayaan terbesar beliau bersama JDT adalah merangkul Piala AFC dan memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai AFC tahun 2015. Selain itu beliau juga mencatatkan sejarah memenangi 5 Liga Super Malaysia berturut-turut.

Kecederaan menghalang beliau untuk terus bersinar pada tahun 2017 dan 2018. Namun apabila diturunkan, kita akan melihat intensiti yang hebat dilahirkan oleh beliau. Gandingan beliau bersama Natxo Insa dan Hariss Harun sangat digeruni pihak lawan.

Kini JDT bakal memulakan era baru tanpa Safiq Rahim. Mungkin ini keputusan beliau sendiri dan kita sebagai penyokong harus menghormati keputusan ini dan bukan menyalahkan jurulatih mahupun TMJ sendiri. Kerana semua sedar bukan mudah untuk pasukan melepaskan beliau.

 

 

Selamat maju jaya diucapkan kepada anda Safiq Rahim. Terima kasih atas keringat anda kepada kelab. Jasa anda sebagai kapten dan pemain JDT tidak akan kami lupakan. Minta maaf jika ada salah silap dan terkasar bahasa dari kami. Anda adalah kapten kami. Anda adalah legenda kami. Adios kapitan.

Ismail Abu, Kulai

 

Foto: www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply