BERGEGAR seluruh negara terutama netizen apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bernilai RM15 juta bakal disalurkan kepada skuad kebangsaan untuk menjadi pasukan yang lebih kuat di peringkat dunia.
Menambah gegaran dan panas hati netizen apabila mendapat tahu projek baharu pasukan kebangsaan itu melibatkan seorang insan yang cukup tidak disenangi tetapi diminati dalam diam iaitu Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Dalam ramai yang tidak puas hati dengan pengurusan terkini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran pelbagai masalah yang dihadapi, Tunku Ismail dalam diam membuat perancangan teliti untuk menaikkan taraf dan mutu bola sepak tempatan tanpa diminta oleh mana-mana pihak sekalipun.
Perancangan yang dilakukan bukan hanya angan-angan Mat Jenin ataupun cerita dongeng kerana Baginda membuat perhatian terhadap apa yang berlaku dalam senario bola sepak global dan tidak malu berguru dengan mereka yang lebih pakar dalam perkara ini.
Baginda banyak meluangkan masa belajar bersama-sama rakannya Tim Cahill, legenda Australia yang kini Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dalam usaha membentuk sebuah unit bebas skuad kebangsaan berlandaskan modul bola sepak moden.
Apabila skuad kebangsaan diswastakan, unit ini akan diberikan KPI tersendiri yang dipertanggungjawabkan kepada seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal menyelia enam lagi unit penting bagi memastikan semuanya selari dalam usaha menjadi pasukan berprestasi tinggi.
Tunku Mahkota Ismail mungkin tidak akan terlibat secara langsung dalam projek ini tetapi kebijaksanaan Baginda mungkin digunakan sebagai penasihat dan juga akan mencadangkan individu yang dipercayai dan tahu tentang perkara yang dilakukan terutama bahagian kewangan unit ini.
Sejak menerajui JDT dari 2013, masalah melibatkan urus tadbir kewangan adalah perkara yang dititikberatkan oleh Baginda dan lihat sendiri apa yang berlaku kepada Harimau Selatan dalam tempoh masa yang singkat berjaya menjadi kelab kelapan terbaik Asia.
Unit skuad kebangsaan selepas ini sudah pasti akan mempunyai akses kepada kemudahan latihan yang moden dan berkelas dunia selain akan dibimbing individu yang faham akan kepentingan bola sepak kepada rakyat Malaysia.
Seperti juga JDT, unit ini bakal mempunyai pasukan ‘scout’ yang akan menjelajah ke seluruh dunia untuk mencari bakat-bakat warisan negara untuk mempelawa mereka mewakili Malaysia dan sudah pasti ianya akan menambahbaik kualiti skuad kebangsaan.
Selain itu, mengetahui cara pentadbiran Baginda, unit pembangunan akar umbi juga akan diperkasakan dan ianya selari dengan kemajuan yang dicapai oleh skuad senior dalam masa yang sama membentuk skuad masa depan dengan bakat-bakat muda tempatan dari seluruh negara.
Perkara ini bukanlah asing dalam dunia bola sepak Asean kerana Indonesia sudah pun memulakan projek ini dan lihat bagaimana mereka kini meningkat dan sudah mampu bersaing dalam peringkat 18 pasukan terbaik Asia.
Inisiatif yang dilakukan ini sangat baik dan akan memberikan impak kepada skuad Harimau Malaya. Tidak akan ada lagi laungan tidak puas hati kepada FAM kerana ianya akan menjadi sejarah dan kini masanya untuk memacu ke hadapan.
Mungkin ramai yang skeptikal kerana ianya melibatkan Tunku Mahkota Ismail tetapi lihatlah segala rekod Baginda bukan hanya di JDT tetapi juga sebagai individu yang menukar lanskap bola sepak tempatan selama ini.
Bukakan mata bukakan minda kerana dunia itu lebih dari pancaindera. Jangan biarkan emosi menguasai diri dan lihat, dengar, rasakan angin perubahan bola sepak negara.