Corak kepimpinan yang sering ditunjukkan Pemangku Sultan Johor DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadikan penyokong pasukan ini lebih matang dan tidak bertindak mengikut emosi.
Baginda sering memastikan segala maklumat berkaitan kelab disalurkan kepada semua penyokong dan segera mengambil tanggungjawab sekiranya keputusan dilihat tidak menyebelahi JDT meskipun ianya dilihat positif pada mata para penyokong.
Lihat sahaja apa yang berlaku selepas perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite antara Harimau Selatan dan Buriram United. Tunku Ismail segera menjelaskan apa yang berlaku dan secara langsung mendidik dan memujuk hati para penyokong yang mungkin mempunyai pandangan masing-masing tentang keputusan perlawanan itu.
JDT seri tanpa jaringan di perlawanan elit Asia. Ianya perkara yang positif jika dilihat dari sudut bola sepak kerana kita adalah kelab kerdil di kejohanan ini namun ianya adalah isyarat buat Tunku Ismail bahawa perubahan perlu dilakukan bagi memastikan JDT layak ke peringkat seterusnya sebagai lapan pasukan terbaik Asia Timur.
Dua kad merah dilayangkan kepada pemain JDT tetapi penyokong kekal tenang dengan tidak ada langsung sebarang insiden tidak diingini berlaku di dalam mahupun di luar stadium. Berbeza dengan apa yang berlaku di stadium lain apabila ianya melibatkan pengadil.
Apabila kita mempunyai pemimpin yang tenang dengan visi yang jelas, kita akan mempunyai rasa percaya kerana turut akan memikul tanggungjawab dalam memastikan kelab ini berada dalam keadaan yang baik dan menjadi yang terbaik dalam segenap segi.
Gerak tubuh, bahasa badan dan emosi yang dilemparkan Tunku Ismail ketika perlawanan jelas menunjukkan dia sendiri tertekan dengan aksi pemainnya namun dia tidak menuding jari kepada sesiapa tetapi mengambil tanggungjawab atas segala apa yang berlaku di dalam kelab.
Sifat inilah yang perlu diberi pujian kerana Tunku Ismail bukan sahaja menenangkan kita para penyokong tetapi juga memberi jaminan sesuatu yang lebih baik akan berlaku dalam pasukan sekaligus mengembalikan semula keyakinan terhadap pasukan.
Tiga perlawanan Elit Asia, tiga kehadiran penuh adalah bukti kematangan penyokong JDT yang setia dibelakang pasukan dan percaya dengan apa yang sedang dan akan dilakukan oleh Pemangku Sultan Johor itu.
Sedarlah kita, banyak pasukan yang mahukan individu seperti Tunku Ismail untuk mengetuai mereka dan kita perlu bersyukur atas kurniaan ini dengan teruskan sokongan, percaya dengan proses dan sentiasa yakin ini Johor Darul Ta’zim. Fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.