Tidak ada apa yang perlu dipertikaikan lagi tentang kualiti kepimpinan yang ada pada Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang sekali lagi membuktikan sentuhan midasnya berfungsi dan mendekatkan Harimau Selatan dengan kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut.
Iya perjalanan masih jauh untuk kita bermain bunga api tetapi dengan adanya pemilik seperti Tunku Ismail, penyokong JDT tidak perlu bimbang dengan motivasi dan semangat pasukan yang sentiasa dibakar oleh Pemangku Sultan Johor itu.
Berani kita katakan, tidak ada pemilik atau ketua setiap kelab yang turun padang sama-sama menyaksikan sesi latihan pasukan dan memberikan kata-kata semangat serta tahu tentang kekuatan pemain sendiri serta kelemahan lawan yang akan ditentang.
Sentuhan midas dan motivasi peribadi kepada setiap pemain yang diberi menjadikan mereka lebih bersemangat kerana dapat merasakan kasih sayang dan rasa percaya daripada pemilik kelab dan pemain akan bermain bukan sahaja demi lencana di dada tetapi demi pemilik, penyokong dan Negeri Johor sendiri.
Inilah yang berlaku sehari sebelum JDT berlepas ke Kelana Jaya untuk berhadapan Selangor FC dalam aksi Liga Super apabila Tunku Ismail seperti biasa mengetuai taklimat pasukan dan akhirnya semua menjadi sejarah.
Baginda secara peribadi bercakap dan memberikan kata-kata semangat kepada Bergson Da Silva dan Romel Morales hingga ayat-ayat yang dilafazkan itu disimpan kemas di sanubari dua penyerang itu dan akhirnya pasangan itu meledak tiga jaringan untuk kemenangan mutlak JDT di laman lawan.
Sebagai manusia, rasa percaya ini adalah senjata terkuat dalam diri seseorang bukan hanya dalam konteks sukan tetapi juga kehidupan tidak kira sama ada kanak-kanak mahupun dewasa kerana secara psikologi, kita akan memberikan lebih dari had apabila kita yakin dengan kepercayaan yang diletakkan di bahu.
Tunku Ismail kekal tenang apabila JDT tewas buat pertama kali musim ini di Liga Juara-Juara AFC Elite kepada Gwangju FC sebaliknya menjadikan kekalahan itu sebagai semangat buat semua pemain untuk bangkit mencipta kemenangan dan memberikan senyuman kepada para penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.
Kepercayaan inilah sebenarnya menjadi tunjang utama kejayaan JDT selama ini dan sebab itu kita tidak perlu terkejut apabila setiap pemain dan pegawai pasukan akan mengucapkan terima kasih kepada boss kerana mereka tahu apa yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail kepada mereka di dalam mahupun di luar padang.
Sikap percaya ini juga sudah menular kepada para penyokong yang semakin matang dari hari ke hari dan mempercayai pasukan yang membuatkan kita semua kekal dibelakang pasukan tidak kira sama ada di laman sendiri mahupun di tempat lawan – dalam dan luar negara.
Ekosistem ini akan menjadikan kelab ini lebih baik dan maju hingga kita mungkin akan bergelar juara untuk tempoh masa yang lebih lama tetapi perlu diingat, jangan sombong dan teruskan sokongan tanpa lupa asal usul kita sebelum ini.
Perjalanan kita masih panjang, impian Tunku Ismail juga masih jauh untuk terlaksana tetapi rasa percaya wujud di kalangan kita semua para penyokong dan ini menyatukan dan membezakan kita dari yang lain-lain.
Peliharalah amanah dan kejayaan ini kerana ramai yang mengimpikan untuk berada di tempat kita. Kekal setia dan tunjukkan pada semua, ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.