TIGA KEGEMBIRAAN DALAM TIGA HARI BUAT PENYOKONG JDT

Sudah acap kali laman ini menceritakan tentang beruntung nya menjadi penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Bukan sahaja boleh berbangga dengan kejayaan di dalam padang tetapi juga tersenyum dengan pelbagai khabar gembira saban hari.

Minggu ini sahaja sudah tiga hari berturut-turut kita sebagai penyokong setia JDT menadah tangan tanda bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan kepada kelab kita ini. Nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan.

Bermula pada hari Isnin dengan sambutan ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim, ramai yang berbangga mengenangkan sebuah kisah klasik untuk masa depan yang mampu membuat kita tersenyum. Saat gilang gemilang perasmian stadium JDT itu kukuh terpahat dalam ingatan setiap penyokong.

Laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram dibanjiri dengan gambar dan instastory ‘throwback’ malam bersejarah itu dengan tayangan semula majlis itu di laman sosial rasmi JOHOR Southern Tigers mengundang lebih dari 100,000 mata memandang.

Tidak cukup dengan itu, dikala kita sedang berehat selepas menikmati makan tengah hari pada Selasa, kita diberikan satu lagi khabar gembira apabila pemilik kelab kesayangan kita, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bertitah akan memberikan hadiah berupa potongan ke atas harga jersi musim 2021 JDT.

Dimanakah kita hendak mencari pemilik kelab di Malaysia yang sanggup memberi potongan harga kepada penyokong sebagai tanda penghargaan kepada sokongan kita yang tidak berbelah bahagi selama ini. Ini jersi Nike tau bukan sebarang jenama.

Hari ini, Rabu tanggal 24 Februari 2021, JDT sekali lagi akan menjadi tumpuan seluruh negara apabila melancarkan jersi Nike ‘Home’ dan ‘Away’ untuk musim 2021 yang bertemakan berlian. Apa yang lebih mengujakan adalah video pelancaran ala James Bond dilihat begitu elegan dan menepati imej JDT yang bergaya dan bernilai.

 

Kerjasama erat antara JDT dan Nike memperlihatkan jenama ini percaya akan keupayaan JDT menarik minat pembeli dengan undangan siaran langsung itu telah penuh diisi kuotanya. Dari 1,000 ditambah ke 2,500 dan masih mendapat sambutan.

Tiga hari dengan tiga khabar gembira adalah satu nikmat yang tidak boleh kita persiakan. Oleh itu sebagai penyokong setia, ayuh kita beli jersi baharu ini dan teruskan sokongan kita kepada kelab terbaik negara.

 

Percayalah pasti akan ada banyak lagi khabar gembira menanti kita para penyokong dan pastinya kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Super bakal melengkapkan rasa bangga kita kepada kelab ini. Kepada Tuhan kita berserah. Terima kasih JDT. Menjunjung Kasih TMJ. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply