TIDAK PUTUS ASA, TIGA MATA, TANPA BOLOS DAN SATU JUTA TONTONAN

Inilah rumusan kepada perlawanan kedua Liga Super antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim JDT dan Penang FC yang menyaksikan JDT berjaya mengumpul mata maksimum dalam dua perlawanan awal liga musim 2021 ini.

Meskipun diberi tentangan hebat oleh muka baru Liga Super, JDT dilihat tidak berputus asa dan membuat serangan bertali arus hingga mengakibatkan pemain Penang FC melakukan kesilapan sekaligus menang bergaya.

Menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak kedua, JDT menampilkan karektor juara dibantu dengan tahap kecergasan pemain yang tinggi serta mengekalkan disiplin dan menunjukkan semangat tidak putus asa.

Walaupun bermain tanpa kehadiran penyokong setia Merah Biru, skuad Harimau Selatan tetap bermain sepenuh jiwa kerana mereka sedar kesemua pasukan yang menentang JDT pastinya memberikan tahap permainan yang berbeza.

Namu begitu, persembahan bertenaga ini telah disaksikan oleh lebih sejuta penonton di laman YouTube unifi. Ini belum termasuk dari data penonton yang menyaksikan siaran langsung menerusi unifiTV.

Ini adalah angka yang luar biasa kerana ia meningkat hampir sekali ganda jika dibandingkan dengan 646,000 jumlah tontonan ketika menentang Kedah Darul Aman FC tempoh hari.

Lebih manis, JDT juga berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos di Stadium Sultan Ibrahim musim ini. Siapa pun yang diletakkan di barisan pertahanan memberikan persembahan cemerlang hingga menyukarkan penyerang lawan merobek kubu pasukan.

Tahniah diucapkan kepada para penyokong atas sokongan padu yang diberikan. Ini membuktikan liga kita sememangnya mempunyai penyokong yang setia dan nilai komersial yang cukup besar.

Tahniah juga kepada para pemain yang bermain mati-matian bagi meletakkan senyuman di wajah para penyokong JDT hari ini. Anda dan ‘frontliners’ adalah hero sebenar kami. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply