THE MAESTRO – SR8

Foto: Rizanizam – www.asiana.my

THE MAESTRO – SR8

Ramai penyokong yang marah dan mempersoalkan tindakan jurulatih, Raul Longhi kerana sering mengenepikan Safiq Rahim dari kesebelasan utama JDT kebelakangan ini. Faktor Safiq atau Chopot dianggap antara faktor utama kejayaan JDT sebelum ini.

Tidak saya nafikan pengaruh beliau di atas padang sangat memberi kesan kepada pasukan. Namun tahun 2018 ini beliau dilihat kurang berkesan dan setelah pertemuan dengan Perak tempoh hari, saya mula yakin dengan keputusan jurulatih.

JDT kini lebih menggunakan Nazmi Faiz dan Natxo Insa untuk menjana jentera tengah. Kedua dua pemain ini sangat berkesan dengan larian pantas dan hantaran-hantaran maut kepada penyerang. Gonzalo Cabrera juga menambah sengat dengan kelicikan beliau.

Setelah membuat analisis, saya dapat simpulkan permainan JDT akan menjadi perlahan jika Chopot diturunkan. Semua pemain dilihat harus menghantar kepada beliau. Ini sekaligus menjadikan pemain lain kurang kreatif dan akibatnya hilang posisi dan bola.

Jika dilihat di media sosial ramai penyokong yang mula mempertikai keputusan Raul tidak menyenaraikan Safiq. Mungkin atas dasar itulah beliau diletakkan sebagai kesebelasan utama ketika menentang Perak. Namun Hariss Harun kekal memegang lilitan kapten pasukan.

Permainan JDT pada separuh masa pertama sangat membosankan. Memang kita mendahului melalui penalti, namun pasukan Perak lebih bahaya menguasai tengah. Nazmi Faiz hilang punca kerana semua bola perlu dihantar kepada Chopot.

 

Hantaran-hantaran Safiq mudah dibaca pertahanan lawan. Beliau juga dilihat kurang yakin untuk mencuba biarpun hanya berhadapan penjaga gol lawan. Chopot yang dahulu sudah pasti akan menjaringkan gol dalam situasi sedemikian.

Beliau juga banyak kehilangan bola dan semakin kerap menghantar bola kebelakang semula. Ini mengundang permainan negatif dan ia menggusarkan penyokong setia JDT yang turun ke stadium walaupun bulan puasa.

Setelah beliau dikeluarkan dan diganti dengan Gary Steven Robbart barulah permainan JDT lebih tersusun dengan Nazmi Faiz kembali hidup bergandingan dengan Gonzalo Cabrera. Banyak percubaan dilancarkan kearah kubu Perak dan akhirnya Jorge Santos berjaya menjaringkan gol untuk JDT.

Ada suara-suara kecil mengatakan bahawa Chopot semakin besar kepala semasa latihan. Beliau yang terkenal sebagai anak emas TMJ kini tidak lagi seperti dulu. Mungkin kerana beliau dilucutkan dari peranan kapten dan beliau mula mempersoalkan tindakan jurulatih.

Namun kita tidak boleh mempercayai 100% apa yang kita dengar. Mungkin ada orang yang iri hati dengan beliau dan ingin merosakkan reputasi Chopot. Sebagai penyokong saya mengharapkan yang terbaik dari bekas kapten kesayangan kita ini.

Buat penyokong JDT, kita perlu menerima hakikat bahawa JDT kini sedang dalam fasa perubahan. Pemain seperti Chopot mungkin tidak lagi relevan. Sudah-sudahlah dengan Chopot. Kita harus membuktikan bahawa kita adalah satu pasukan yang bagus dan bukan kerana individu.

Dan buat Chopot, penyokong sentiasa menyayangi anda. Teruskan usaha di atas padang dan mungkin anda boleh lebih ramah dengan penyokong di luar padang. Jadikan pemain-pemain legenda lain sebagai contoh dan jangan putus asa. Anda adalah MVP Piala AFC. Jadi anda harus lebih faham nilai MVP itu.

 

Leadership is about making others better as a result of your presence and making sure that impact lasts in your absence..”

Azizul Idris, Pasir Gudang

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply