Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melakar sejarah baharu 1 Oktober ini apabila menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak tahap tertinggi Asia – Liga Juara-Juara AFC Elite dan sokongan para penyokong setia dilihat sangat tidak berbelah bahagi.
Harimau Selatan kini membuktikan mereka berada pada kelas yang tinggi selepas berjaya membawa pulang satu mata dari Shanghai apabila Arif Aiman Hanapi dengan bersahaja mengikat pendahulu Liga Super China, Shanghai Port FC 2-2.
Kejayaan ini mengujakan semua peminat bola sepak tempatan umumnya dan JDT khasnya dengan masing-masing sudah tidak sabar untuk memenuhkan Stadium Sultan Ibrahim dan menunjukkan kepada Asia tahap elit para penyokong pula.
Tiket yang dijual laku macam goreng pisang panas dan menjadi reburan dengan pemegang pas bermusim hanya tersenyum kerana kemasukan mereka ke stadium sudah dijamin sebagai salah satu faedah membeli pas bermusim.
Menyaksikan perlawanan tahap elit Asia dengan bermodalkan tiket serendah RM10, apa lagi yang kita mahu. Tidak akan ada pemilik pasukan seperti Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang bermurah hati memberikan fasiliti dan pengalaman menonton terbaik dengan harga lebih murah dari set Nasi Ayam Penyet.
Shanghai Shenhua pula bakal menjadi lawan dan mereka sudah tentu akan bergelut jika melihat keadaan stadium yang penuh dengan penyokong diketuai Boys of Straits yang sememangnya mendatangkan gerun kepada sesiapa yang hadir ke Iskandar Puteri.
Tatkala ramai yang mempertikaikan kesebelasan utama kita yang dikatakan kurang Malaysia, mereka lupa undang-undang membenarkan dan majoriti pasukan menggunakan kesempatan ini untuk mengutip tiga mata sekaligus memberikan pulangan tunai yang lumayan buat kelab.
Stadium Sultan Ibrahim bukanlah asing dengan pertandingan kelas Asia dan pernah menyimpan detik-detik manis buat JDT dan para penyokong setia yang menyaksikan satu demi satu gergasi Asia terkulai dan pulang hampa dibaham Harimau Selatan.
Kini gelanggang elit Asia pula akan dibuka dan walaupun beraksi pada pertengahan minggu, ini bukanlah alasan buat para penyokong Merah Biru untuk hadir ke stadium kerana sedar akan kepentingan kejohanan ini dan JDT memerlukan kita di belakang mereka untuk terus maju ke hadapan.
Masa semakin hampir, bersediakah kita dengan malam elit Asia yang gemilang. Lautan penyokong dijangka memenuhi segenap ruangan stadium dan ayuh semua tunjukkan kepada Asia siapa kita. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.