SELAMAT TINGGAL JDT
Sabtu, 20hb Oktober 2018 adalah hari terakhir perjuangan JDT untuk musim 2018 ini. Tahniah kepada Terengganu dan Perak yang berjaya melangkah ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia tahun ini.
Apa akan jadi pada JDT? Kita semua sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada JDT 2018 ini kerana kita semua bakal melangkah masuk ke liga di kelas yang tersendiri, Liga Juara Juara Asia 2019 nanti. Tak kisahlah jika sampai sekarang ini masih ada suara-suara sinis netizen dalam dan luar yang masih tajam menyindir JDT yang gagal melangkah masuk ke Final walaupun JDT hebat dengan fasiliti dan kewangan.
Pencapaian menjejakkan kaki ke separuh akhir Piala Malaysia ini sudah cukup baik bagi kita. Selepas satu persatu TMJ dan kelab melindungi kelab daripada unsur negatif dalam pasukan dan melakukan perubahan drastik walaupun agak pahit diterima segelintir penyokong. Daripada isu ayam tambatan JDT, Pereyra Diaz sehinggalah kepada isu jurulatih Mario Gomez, Ulisses Morais dan Raul Longhi. Satu persatu kelab dapat mengatasinya atas kebijaksaan pemilik kelab.
Musim 2018 bakal meninggalkan pengalaman paling bermakna kepada kelab. Proses belajar, mengenali dan mengaplikasikan setiap data di masa depan kelab. Menguruskan kelab bolasepak seperti JDT memerlukan tahap kesabaran dan kekuatan sokongan sepasukan daripada penyokong hinggalah pemain. Moga keyakinan penyokong dapat diterjemahkan kepada sumbangan ke Yayasan JDT sebagai tanda membantu kelab JDT terus gah membina empayarnya nanti.
Dalam pahit banyak manisnya. KPI wajib kelab adalah untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij Asia. Kita sudah berjaya lakukan tahun ini dengan memenangi Liga Super buat kali ke 5 berturut-turut malah mendapat ‘golden ticket’ ke kejohanan ACL tahun depan. Lebih manis lagi tahun ini pasukan remaja JDT U-15 dan U-18 JDT Valencia Academy tahun ini telah memenangi Kejohanan Peringkat MSSM.
Kepada penyokong-penyokong setia, bersabarlah dengan sentimen pasukan utama dan pasukan pelapis. Kita beri ruang idea dan perancangan jangka panjang JDT berjalan mengikut frasa masa yang telah dirancang.
Kejayaan JDT di luar padang tidak pernah berhenti membina pengaruhnya. Menerima pengiktirafan daripada Superbrands dalam kategori Kelab Sukan yang pertama di Asia Tenggara tahun ini. Laman rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers berjaya mencecah angka 2 Juta ‘likes’ tahun ini sejak bermulanya revolusi JDT yang telah dilakukan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013 dahulu.
Musim ini sudah berakhir, tetapi di JDT segalanya tidak akan berakhir dan berhenti membina empayarnya. Teruskan sokongan semua dan memberi keyakinan kepada TMJ untuk menjadikan JDT terus gah selamanya.
SELAMAT TINGGAL JDT 2018. JUMPA LAGI DI 2019!
“Kita tiada rezeki tahun ini, Kita akan cuba lagi tahun depan..” – DYAM Tunku Mahkota Johor
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.