Kerjasama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama-sama jenama-jenama global bukanlah asing sejak ditubuhkan pada 2013. Kekuatan jenama JDT itu sendiri berjaya menarik perhatian syarikat antarabangsa untuk bekerjasama dan mendapat manfaat dari penajaan.
Nike, Hublot, Aston Martin Racing Asia, Subway, F&N, Spartan dan Forest City adalah antara nama-nama antarabangsa yang menjadi penaja JDT dan hari ini satu lagi jenama akan membawa JDT lebih jauh ke peringkat global.
Malaysia Airlines kini menjadi rakan strategik terbaharu Harimau Selatan dengan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) menjadikan MAS sebagai rakan penerbangan eksklusif rasmi untuk skuad JDT.
Selepas ini, semua perjalanan JDT ke perlawanan-perlawanan dalam negeri dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) akan diterbangkan khas oleh pesawat Malaysia Airlines yang terkenal dengan hospitaliti terbaik dan keselesaan serta keselamatan.
Sekali lagi soalan yang sering diajukan adalah, mengapa JDT? Jawapannya mudah sahaja kerana JDT juga adalah jenama global dan menerusi kerjasama ini jenama Malaysia Airlines akan menjadi lebih popular di kalangan penyokong bola sepak tempatan dan juga bola sepak serantau dan Asia.
Di peringkat awal ini, mungkin Malaysia Airlines akan menerbangkan JDT dengan pesawat biasa tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan yang Malaysia Airlines akan mengecat pesawat mereka kepada livery JDT seperti yang mereka lakukan kepada skuad kebangsaan.
Kerjasama dua jenama global yang banyak memenangi anugerah dan trofi di peringkat domestik mahupun antarabangsa ini pastinya akan membawa situasi menang-menang kepada kedua-dua organisasi kerana hanya pemenang mengenali pemenang.
Bandar Raya Johor Bahru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai juga adalah hub yang baik untuk Malaysia Airlines meluaskan lagi rangkaian penerbangan mereka ke seluruh negara dan juga rantau Asia ini
Kelebihan ini sudah terbukti apabila AFC sendiri memilih Johor Bahru sebagai salah satu venue untuk perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC yang bakal berlangsung pada April nanti.
Tahniah JDT. Sememangnya jenama JDT sudah jauh kehadapan dan kini menjadi pilihan syarikat antarabangsa untuk melakukan kerjasama. Inilah yang dinamakan mendunia selaras dengan laungan semangat Luaskan Kuasamu Johor.
Foto: Hazri Sharani – HS
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.