SATU CIAPAN JESE RODRIGUEZ BERI NILAI KOMERSIAL BESAR BUAT JDT

Tahukah anda, kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merekrut bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez bukan sahaja mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa tetapi juga memberikan impak kepada nilai komersil kelab berpangkalan di Iskandar Puteri itu.

Buat pertama kali dalam sejarah, wartawan bola sepak tersohor dunia, Fabrizio Romano memuat naik ciapan dengan ungkapan popular “Here We Go” tentang kemasukan Jese ke JDT sekaligus memberikan impak positif kepada Harimau Selatan.

Fabrizio Romano mempunyai 22.4 juta pengikut di media sosial X nya dan jika satu peratus dari pengikut itu membuat carian di internet mengenai JDT, bayangkan berapakah pendedahan yang diperolehi oleh JDT.

Inilah perkara yang diimpikan oleh pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ketika Baginda mula-mula menubuhkan JDT pada 2013 dan kini mimpi itu menjadi kenyataan dengan kemasukan bintang dunia yang pernah memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA bersama Real Madrid.

Tidak cukup dengan Fabrizio Romano, Jese sendiri sering memuat naik hantaran berkaitan latihannya di JDT di laman sosial peribadinya dan dia mempunyai 4.3 juta pengikut di laman X dan Instagram.

Satu ciapannya di X dapat dilihat 2.4 juta pengikut manakala satu hantaran di laman Instagram dapat dilihat oleh 1.9 juta pengikut dan ini sudah cukup untuk meningkatkan nilai komersil kelab yang sehingga kini berjaya menarik minat penaja dari seluruh dunia.

Sebelum ini, kebijaksanaan Tunku Ismail memanggil penstriman terkenal dunia, IshowSpeed hadir ke Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan JDT memastikan Tunku, pasukan JDT dan stadium itu mendapat perhatian lebih 30 juta pelayar yang mengikuti siaran langsung yang disiarkan.

Dari sudut pemasaran, jutaan bola mata yang tertumpu itu sebenarnya memberikan nilai tambah buat kelab dan juga penaja dan atas sebab inilah JDT semakin ke hadapan dan sentiasa menjadi berita dan contoh terbaik buat kelab-kelab di Asia Tenggara dan Asia.

Dengan hanya tiga individu, jenama JDT tersebar seluas alam semesta ditambah pula dengan aksi cemerlang di dalam padang terutama di Liga Juara-Juara AFC yang membuka mata lebih banyak pihak tentang kejayaan JDT.

Kehadiran lebih 500 orang penyokong Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini sudah cukup menunjukkan JDT sudah meluaskan kuasa jenamanya di seluruh Asia dan tempiasnya, negeri Johor mendapat limpahan ekonomi hasil janaan jualan dari pelbagai kedai makanan dan cenderahati rasmi kelab.

Kebijaksanaan inilah sebenarnya yang menjadi iri hati banyak pihak kerana tumpuan lebih terarah ke Johor hanya dengan kekuatan dan kejayaan sebuah pasukan bola sepak.

Ini Johor Darul Ta’zim, kelab kebanggaan kita. Hargai apa yang kita ada kerana ramai yang mahukan apa yang kita miliki. Fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.