RINDUNYA PADA SUASANA LARKIN

Kini hangat di media sosial dan media massa menceritakan perihal penyokong JDT yang sudah tidak memenuhi Stadium Larkin. Senario yang mungkin biasa bagi pasukan lain tetapi tidak bagi JDT.

Sejak JDT direvolusikan pada tahun 2013, tiket bola di Stadium Larkin boleh dikategorikan sebagai barang yang panas. Tidak kira perlawanan hujung minggu atau tengah minggu, tiket perlawanan JDT menentang pasukan apa pun akan ‘sold out’

Begitu sukar untuk mendapatkan tiket ketika itu dan jika mahukan tempat duduk, penyokong harus masuk ke stadium seawal jam 4 petang. Ekoran dari itu pengurusan JDT menawarkan pakej pas bermusim dan ianya laku bagaikan pisang goreng panas.

Setiap perlawanan tidak akan ada ruang kosong langsung untuk duduk mahupun berdiri. Pagar hadapan diturunkan bagi memastikan ianya tidak menghalang ‘eye view’ penyokong dan kerusi baharu yang lebih selesa dipasang.

Hari perlawanan menjadi buah mulut para penyokong dan jika tidak berada di Larkin kita akan berasa janggal dan bagaikan terasing. Berbondong-bondong penyokong datang dengan ada yang sanggup memarkir kereta sejauh 2km hingga ke Bomba Larkin demi sama-sama menyokong skuad Harimau Selatan.

Suasana ketika perlawanan tidak perlu dipertikaikan lagi. Ada pasukan lawan yang ketar sebelum masuk ke padang lagi. Mereka sudah pecah mental melihat bagaimana taksubnya penyokong JDT bersorak menaikkan semangat para pemain sebelum perlawanan bermula.

Pemain JDT pula membalas sorakan ini dengan persembahan bertenaga dan berjaya menghasilkan keputusan demi keputusan yang menimbulkan senyum di kalangan para penyokong yang setia tetapi masih beradab dan tidak meninggi diri.

Pada ketika ini, penyokong JDT menjadi penanda aras hingga menimbulkan rasa iri penyokong lain yang melihat sekumpulan penyokong dari Tanah Jauhar ini bersatu pada menyokong JDT dari Temasik hingga ke Siam.

Rasa rindu ini semakin menebal kerana suasana kini sudah lain. Hanya perlawanan besar sahaja yang mampu menjentik semangat lama ini itupun hanya 70% dari semangat dahulu. Umpama lagu dendangan kumpulan XPDC, Semangat Yang Hilang. Larkin kini hilang sengatnya.

Sebelum kita mengucapkan selamat tinggal selamanya kepada Larkin, ayuh sekali lagi kita jelmakan semangat yang hilang ini. Jom kita hilangkan rasa rindu ini dan sama-sama bersatu mengembalikan Sorakan Larkin sebagai kenangan kita bersama.

Runcing-Runcing Jari Telunjuk
Jari Telunjuk Si Dara Lazim
Usah Merajuk Biar Dipujuk
Ini Johor Darul Ta’zim

Luaskan Kuasamu Johor.

Zafri – Larkin

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply