REVOLUSI HARIMAU SELATAN KE HARIMAU MALAYA – MEREKA TIDAK BIASA

Semua cerita buruk, seram dan rasa kurang yakin hilang begitu sahaja sebaik sahaja pengadil dari Lebanon meniupkan wisel penamat sekaligus menyaksikan Malaysia menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam seterusnya semakin hampir ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Sebelum perlawanan, banyak bunyi-bunyi yang bising seakan tidak percaya dengan revolusi yang cuba dilakukan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya.

“Mereka tidak biasa” – inilah ungkapan yang dilontarkan oleh Tunku Ismail kerana dia sedar bahawa masih banyak rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas ketiga yang hanya tahu mengkritik tanpa memberikan idea atau sebarang sumbangan bermakna.

Bagi penyokong JDT, perkara ini sudah mereka alami sejak penubuhan kelab pada 2013 dan kini seluruh Malaysia merasakan mania yang berdentum rancak hingga menggegarkan dunia bola sepak Asean, Asia dan dunia.

Mereka tidak biasa. Sehingga ada yang skeptikal dan tidak menerima hakikat bahawa perubahan dalam bola sepak perlu dilakukan seiring dengan kehendak bola sepak moden dan jika mahu pergi lebih jauh dalam pelbagai kejohanan.

Mereka tidak biasa. Jiran tetangga kecoh bagaikan diserang Garuda sehingga memaksa pihak berwajib memastikan kehadiran pemain-pemain warisan adalah tepat malah ada penyokong Malaysia sendiri yang menyokong tindakan ini.

Pelbagai pihak yang tidak biasa termasuk media, legenda hingga netizen-netizen menghentam proses revolusi ini hingga ada kelihatan seakan-akan adanya gerakan untuk menggagalkan usaha murni yang pernah berlaku di selatan tanah air.

Malangnya beberapa jam sebelum sepak mula, mereka yang tidak biasa ini terkejut, terkedu dan kehilangan kata-kata apabila FIFA mengesahkan status pemain-pemain warisan ini yang kemudiannya mengganas di atas padang sehingga menerbitkan rasa gembira pada seluruh rakyat Malaysia.

Media-media yang sebelum ini dilihat membawa naratif jahat berubah haluan umpama lalang mengikut angin memuji apa yang diperagakan meskipun dalam hati masih terasa jelek untuk mengakui usaha yang dilakukan Tunku Ismail kerana mereka tidak biasa.

Laman ini menjadi perhatian apabila video kata-kata semangat Tunku Ismail kepada pemain Harimau Malaya menjadi tular sehingga ramai yang mengakui meremang dengan pendekatan tersebut.

Inilah yang dirasai pemain-pemain Harimau Selatan sebelum ini dan mungkin pada mereka yang tidak biasa, perkara ini luar biasa kerana ketua mereka tidak pernah melakukan perkara sedemikian.

Hakikatnya kini, segala apa yang dijanjikan oleh Tunku Ismail sudah dilaksanakan dan Harimau Malaya kini mengaum garang dan kembali menjadi perhatian rakyat Malaysia dengan Ultras Malaya juga menamatkan boikot terhadap skuad kebangsaan.

Biasa-biasakan diri dengan perkara yang tidak biasa. Percaya pada kepimpinan Tunku Ismail kerana segala apa yang dicatur melibatkan nama baiknya dan semestinya akan dilakukan dengan baik demi kebaikan semua.

Kejayaan Harimau Selatan kini meresap ke Harimau Malaya. Buka hati, buka minda dan nikmati segala-galanya. Lihat, dengar dan rasakan serta simpan semua ini menjadi sebuah kisah klasik untuk masa depan.

Ayuh Harimau Malaya. Demi Malaysia.