PEDULIKAN APA KATA ORANG, HARIMAU SELATAN TERUSKAN BERJUANG

Ramai yang memperkatakan tentang taktik pasukan Penang FC yang meletakkan bas dan membuang masa ketika berhadapan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Liga Super musim 2022 hujung minggu lalu

Perkara ini juga disahkan oleh pengendali Penang FC sendiri bahawa menerusi taktikal ultra bertahan inilah satu-satunya cara untuk pasukan lawan mencuri mata apabila berhadapan JDT.

Kita semua sudah sedia maklum akan mentaliti pasukan lawan yang turun menentang JDT dalam mana-mana perlawanan sekalipun. JDT akan berpesta gol sekiranya lawan bermain secara terbuka.

Ini kerana bagi mereka apabila menentang JDT, kalah itu pasti, seri itu sekali sekala dan menang itu luar biasa. Atas sebab inilah mereka sanggup bermain dengan taktikal yang negatif asalkan dapat merebut mata dari JDT.

Perkara ini juga menjadi kebiasaan pengendali pasukan kerana netizen dan media sering mengangkat mana-mana pasukan yang berjaya mencuri mata dari zaman Stadium Larkin hingga ke zaman Stadium Sultan Ibrahim kini.

Apa yang JDT lakukan akan mendapat perhatian semua orang. Menang besar dikata kita banyak pemain import. Menang tipis dikata kita goyang walaupun banyak pemain import. Tiada apa yang mampu memuaskan hati mereka.

Tetapi kita sebagai penyokong, teruskan sokongan. Pekakkan telinga dan kawal jari jemari dari melayan provokasi di media sosial. Ingatlah mereka menyebut tentang JDT kerana mereka suka dan bukannya benci. Ini adalah kenyataan.

Ingatlah kita tidak boleh memaksa kesemua orang untuk suka kepada kita dan kita perlu menghormati apa jua pendapat yang dilontarkan selagi tidak menyentuh isu sensitif.

Akhir kata, kita teruskan berjuang dan pastikan kita tetap di belakang Harimau Selatan. Yang suka Alhamdulillah, yang tidak suka tidak jadi masalah. Dipuji takkan terbang, dihina takkan tumbang. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.

 

Foto: Hazri Sharani – HS

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply