MENGAPA DUBAI JADI PILIHAN JDT UNTUK LATIHAN PRA MUSIM

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sedang dalam perjalanan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk menghadapi latihan pra musim dengan empat perlawanan persahabatan telah diaturkan di sana.

JDT bakal menguji kelab Slovakia MSK Zilina, kelab Latvia FC Riga dan dua kelab Russia, Rodina Moscow dan pasukan yang biasa bertanding di Liga Juara-Juara UEFA, Spartak Moscow.

Mengapa Dubai menjadi pilihan pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sebagai lokasi persediaan buat skuad Harimau Selatan kerana ini adalah kali kedua JDT mempersiapkan pasukan di sana.

Selain dari melakukan perkara yang JDT lakukan, iaitu kelainan berbanding kelab-kelab tempatan, Dubai mempunyai fasiliti bola sepak dan latihan yang canggih bersesuaian dengan JDT yang juga mempunyai pusat latihan berkelas dunia.

Ramai yang tidak nampak perkara ini tetapi Dubai sering menjadi lokasi latihan kelab-kelab Eropah kerana mereka lari dari keadaan cuaca sejuk melampau dan membolehkan mereka melakukan latihan seperti biasa.

Oleh itu, JDT mengambil kesempatan keberadaan kelab-kelab ini untuk melakukan ‘sparring games’ sekaligus dapat memberikan JDT pendedahan permainan bola sepak Eropah sekaligus penting buat Harimau Selatan untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara AFC.

Bukan mudah untuk JDT diterima sebagai tetamu tetapi dengan ‘networking’ yang dimiliki TMJ dalam dunia bola sepak, ianya tidak menjadi masalah dan JDT berjaya menjual nama dan jenama kelab kepada pasaran Eropah.

Apa yang dilakukan JDT bukan semata-mata untuk permainan bola sepak sahaja. JDT hadir sebagai jenama yang ingin dipasarkan dan mempunyai daya tarikan tersendiri dengan pelbagai kejayaan di dalam mahupun di luar padang.

Para pemain dan barisan kejurulatihan juga akan menggunakan kempen pra musim ini untuk meningkatkan lagi semangat ‘togetherness’ dalam pasukan. Keharmonian dalam skuad adalah perkara terpenting dalam bola sepak.

Mereka akan menjalani latihan dan mereka juga akan bergembira bersama-sama dengan aktiviti yang telah ditetapkan oleh kelab sekaligus memberikan semangat dan menerbitkan rasa beruntung kerana menyarung jersi keramat Merah Biru ini.

TMJ juga sudah pasti akan memantau perjalanan skuad Baginda kerana sikapnya yang teliti dalam setiap isu dan perkara yang berlaku di dalam kelab ini. Kehadiran Baginda akan menambah kesepakatan dalam pasukan kerana merasakan ikatan kekeluargaan antara pemilik dan pemain.

Para penyokong juga perlu memahami bahawa dalam perlawanan pra musim, tiada siaran langsung akan disiarkan kerana perlawanan adalah secara tertutup dan keputusan perlawanan bukanlah perkara utama.

Ianya bukanlah satu kayu pengukur prestasi pasukan kerana di sinilah barisan kejurulatihan akan menguji kesemua pemain bagi memastikan mereka serasi dengan formasi dan corak permainan moden JDT.

Selamat maju jaya buat JDT di Dubai. Semoga persiapan pasukan dapat dilakukan sebaik mungkin dan gunakan kesempatan ini untuk belajar dan terus menimba pengalaman sebelum menghadapi musim baharu yang panjang.

JDT doing JDT thing. Luaskan Kuasamu Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply