Jika kita menjelajah ke mana-mana stadium dalam negara ini, percayalah tidak akan ada yang mampu menandingi kualiti yang ada pada stadium milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kita bukan hanya bercakap tentang ‘facade’ atau bentuk luaran tetapi juga dari segi kualiti padang yang jelas tidak mempunyai sebarang tandingan di Malaysia dan perkara ini terbukti dengan hasil pemerhatian.
Rumput jenis Zeon Zoysia yang ada di SSI terbukti menghasilkan satu lapangan bola sepak yang bukan sahaja bagus untuk permainan bola sepak berkualiti tetapi turut cantik di mata dengan saujana hijau memandang.
Aksi Liga Juara-Juara AFC Elite antara JDT dan Buriram United berlangsung dalam keadaan hujan namun tidak ada satu lopak air pun kelihatan dan bola bergolek seperti biasa tanpa gangguan membuktikan sistem saliran berfungsi dengan baik.
Berbeza dengan keadaan padang di Stadium Bandaraya, Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dan Majlis Perbandaran Selayang yang tidak dapat menampung air hujan hingga berlopak dan menjejaskan kualiti permainan.
Keadaan hujan berterusan setiap hari di Iskandar Puteri juga tidak menjejaskan kualiti padang SSI apabila aksi JDT bertemu KL City pada Ahad dapat dimainkan dalam keadaan yang baik tanpa sebarang cacat cela di kawasan padang permainan.
Perkara inilah yang sering diketengahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT bahawa padang yang baik penting untuk perlawanan bola sepak selain dapat menghindarkan pemain dari mengalami kecederaan.
Tunku Ismail malah mahu membantu setiap negeri untuk mempunyai padang yang baik dan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberikan Geran Penambahbaikan Saliran dan Padang selain Baginda sendiri menaja kos penyelenggaraan selama satu tahun bernilai RM300,000.
Kualiti padang di JDT bukan sahaja tertumpu kepada Stadium Sultan Ibrahim malah Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan beberapa stadium mini lain turut diberikan perhatian untuk memastikan semua stadium di Johor sesuai digunakan untuk perlawanan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa.
Atas sebab inilah, KBS tanpa basa basi memilih Johor sebagai venue tuan rumah bagi acara bola sepak Sukan Sea 2027 kerana percaya fasiliti bola sepak di Johor sememangnya tiada tandingan dengan negeri-negeri yang lain.
Luaskan Kuasamu Johor.