KONSISTENSI SEBAB UTAMA JDT KINI DALAM PERTANDINGAN ELIT KELAB ASIA

Sejak mula menyertai pertandingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada 2016, bermula dari peringkat Play Off, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menoleh kebelakang dan kini mereka bukan lagi kelab kerdil yang tidak dikenali.

Kegagalan layak ke peringkat kumpulan pada 2016 dan 2017 selepas tersangkut di peringkat playoffs tidak melemahkan semangat Harimau Selatan untuk tampil lebih kuat dan mampu bersaing di peringkat Asia.

2018 menjadi detik bersejarah buat JDT apabila layak ke peringkat kumpulan malah berjaya mengejutkan juara bertahan ACL ketika itu, Kashima Antlers dan ianya menjadi permulaan di mana para pemain dan penyokong mula percaya kita mampu bersaing di Asia.

Selepas itu JDT tampil lebih kuat dan lebih konsisten sehingga mencipta sejarah layak ke peringkat 16 terbaik pada 2022 selepas menjuarai kumpulan mengatasi juara Republik Korea, Ulsan Hyundai dan juara Jepun, Kawasaki Frontale ketika itu.

Rekod baharu kelab yang tercipta itu menjadikan penyokong lebih bersemangat untuk melihat JDT melangkah lebih jauh namun persembahan kurang baik di laman lawan menjadi penyebab kemaraan tersekat pada 2023.

Kini untuk musim 2024-25, JDT akan bersaing buat tahun ketujuh berturut-turut di peringkat kumpulan dan konsistensi ini membantu kelab ini kini bersaing di peringkat 24 pasukan elit Asia yang bakal berlangsung dengan format baharu.

Tetapi apa yang kita tidak sedar, JDT hanya memerlukan kurang 10 tahun untuk menempatkan diri dalam kelompok 24 terbaik Asia dan 12 terbaik Asia Timur di mana ianya boleh dianggap satu pencapaian yang cukup membanggakan.

Tatkala pasukan lain berlumba-lumba memasang impian ke Asia, kita sebagai penyokong JDT melihat pasukan kesayangan kita ini layak setiap tahun tanpa gagal dan konsistensi ini lah yang menjadi sebab kita kini di peringkat elit.

Ulsan HD, Shanghai Shenhua, Buriram United dan Pohang Steelers bakal menjadi tetamu kita di Stadium Sultan Ibrahim. Jadi pastikan kita jalankan tugas sebagai penyokong dengan memenuhi stadium dan berada di belakang pasukan.

Jika empat perlawanan di tempat sendiri ini kita berjaya perolehi keputusan yang baik dan positif, tempat ke pusingan 16 terbaik semakin terbuka luas dan sekali lagi bakal menjadi lembaran baharu buat kelab yang sentiasa mencipta sejarah.

Ayuh semua penyokong, inilah masanya kita mahu berjumpa kembali dengan Kim Pan-gon dan melihat kemenangan hatrik JDT ke atas Ulsan HD. Inilah juga masanya untuk melihat Dion Cools bekerja keras bersama Buriram di laman kita yang kebal ini.

Kurangkan beralasan dan cari jalan untuk pastikan stadium sentiasa penuh untuk keempat-empat perlawanan kerana tanpa kita, tidak akan ada Johor Darul Ta’zim dan kelab ini adalah kebanggaan buat kita. Luaskan Kuasamu Johor.