DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Pewaris legasi takhta kesultanan Johor. Representasi figura pemimpin yang mempunyai rasa empati, simpatetik, mampu membuat projeksi tentang hala tuju masa hadapan, akibat serta hasil daripada sesuatu perkara yang berlaku. Dari perspektif lain pula, Tunku amat sukakan cabaran, optimis, dan amat realistik.
Kunggulan sifat itu diolah dengan sempurna dalam pembinaan empayar Harimau Selatan. Lalu hasilnya tanpa menunggu lama, kelab kebanggaan bangsa Johor ini kini berdiri sebagai sebuah kelab yang berada pada satu tahap membanggakan.
Realiti yang tidak boleh disangkal, Tunku amat menyayangi kelab ini lebih dari segalanya. Bagi Tunku, kelab ini adalah aset penting Negeri Johor serta amanah dari rakyat dan perlu dijaga sebaik-baik yang mungkin.
BERJUANG MEMARTABATKAN PROFESION PEMAIN BOLA SEPAK
DYAM Tunku Mahkota Johor amat responsif dalam memberikan pendapat demi kemajuan bola sepak Malaysia yang rasionalnya masih lagi retrogresif jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau. Itu adalah hakikat.
Disamping itu, Tunku juga terlalu menghargai kerjaya pemain bola sepak serta peka tentang perkembangan karier mereka terutamanya pemain muda berpotensi yang dianggap sebagai aset penting bagi masa hadapan bola sepak tanah air.
Oleh kerana elemen itu, Tunku telah bersetuju untuk meneruskan jawatan sebagai Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sejak dari November 2014. Untuk makluman fungsi utama PFAM ialah untuk menjadi suara dan perwakilan pemain serta menjadikan profesion pemain bola sepak ini lebih kondusif.
Jadi pelbagai usaha dilakukan PFAM untuk menyedarkan pemain mengenai nilai-nilai profesionalisme mereka sebagai pemain, kebajikan dan menjadi wakil dalam mempertahankan hak-hak mereka.
TEGURAN MEMBINA UNTUK KEBAIKAN
“Jangan jadi victim kepada Conman!”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Nasihat itu secara implisit dilontarkan DYAM Tunku Mahkota Johor kepada Luqman Hakim Shamsuddin. Tetapi telah disalahtafsirkan oleh segelintir kelompok-kelompok manusia berhati hitam yang terlalu obses kepada Tunku dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Maka nasihat ikhlas itu diputar belit lalu dihebahkan satu Malaya sebagai kenyataan yang bertonasi kedengkian. Maka dakyah itu berjaya menimbulkan antipati dan mencerminkan bahawa Tunku merasa cemburu atas perkembangan kerjaya anak muda tersebut.
“Semua cakap saya dengki, awak ingat dengan apa yang Allah kurniakan dalam hidup saya ini ada masa untuk cemburu dan dengki? Kalau benda bagus saya akan cakap bagus, kalau tidak saya cakap tidak”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Kenyataan balas Tunku itu amat jelas. Bahawa kenyataan itu adalah sekadar nasihat berguna yang perlu diambil secara positif oleh Luqman supaya sentiasa berjaga-jaga dalam setiap tindak tanduk serta tidak impulsif dalam timbang tara keputusan yang mahu diambil supaya tidak menjadi penyebab utama masa hadapan karier beliau gelap dan hancur kelak.
BUKAN KALI YANG PERTAMA
Ingat lagi Mohd Faiz Subri? Penerima Anugerah PUSKAS FIFA tahun 2016. DYAM Tunku Mahkota Johor pernah mengingati pemain tersebut supaya sentiasa waspada agar tidak terlampau leka dengan pujian melambung dan sentiasa peka dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang mahu mempergunakan beliau demi mencapai populariti.
“Saya masih mengiktiraf pencapaian Faiz Subri tetapi saya tidak mahu mengangkat beliau setinggi langit seperti media cetak dan laman-laman media sosial serta rakyat Malaysia lakukan sekarang ini. Sikap beginilah seseorang manusia itu berasa selesa dan cepat berpuas hati,”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, 10 Januari 2017
Lihat, hasilnya dimana Mohd Faiz Subri sekarang? Dimana kedudukan pemain ini? Adakah semakin maju? Tidak! Semakin hari semakin dilupakan sejurus memenangi anugerah tersebut. Benar telahan dan prediksi Tunku, kejayaan pemain ini hanya bersifat sementara. Tidak kemana. Luput dalam lipatan sejarah.
Jika ditanya dimana pemain ini kepada peminat bola sepak Malaysia secara rawak, pastinya mereka tidak tahu dimana pemain ini sekarang. Untuk pengetahuan pembaca, Mohd Faiz Subri kini beraksi di Liga M3 bersama Nothern Lions Football Club-MAHSA.
TIDAK MENGIRA SEBESAR MANA STATUS
Tiada sesiapa yang lebih besar dari Kelab. Tidak kira apa sahaja status dan besarnya reputasi pemain itu, ianya tidak akan menjadikan mereka boleh membuat apa sahaja sehingga mencalarkan nama kelab. Perkara ini berulang kali dinyatakan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Lihat apa yang terjadi kepada pemain bintang JDT Safawi Rasid.
Beliau menjadi antara pemain yang pernah ditegur dan dinasihati baginda secara terang-terangan. Salah satu bukti paling jelas prinsip ini diaplikasi dengan tegas dalam kem Harimau Selatan. Tiada kompromi.
“Tidak ada sesiapa yang lebih besar daripada kelab. Kalau kepala dah tak boleh fokus pasal asyik kena ‘pressure’ setiap hari di paksa kahwin. Semoga maju jaya-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor- Januari 2020
DYAM Tunku Mahkota Johor jelas cepat bertindak sebelum virus tersebut akan membarahi prestasi dan masa hadapan pemain bintang Harimau Selatan tersebut.
Wahai rakyat Malaysia, fikirlah secara rasional dan mengikut kewarasan. Jangan lupa, DYAM Tunku Mahkota Johor adalah antara intelektual bola sepak dunia yang telah terbukti autentik juga autoritatif.
Satu keuntungan bagi kita bilamana Tunku amat prihatin dan mengambil berat tentang masa depan karier anak muda seperti Luqman ini.
Ataupun adakah rakyat Malaysia lebih selesa dinasihati oleh individu kononnya lagenda bolasepak tanah air yang tidak jelas pencapaiannya ataupun nasihat dari seorang ahli politik yang mempunyai misi serampang dua mata, hanya mahu mencari populariti dalam kelangsungan kerjayanya? Terpulang. Tepuk dada tanya selera.
Akhir kata, secara rasionalnya tiada apa yang rugi bagi DYAM Tunku Mahkota Johor jika pemain-pemain muda, kepala organisasi atau peminat bola sepak Malaysia mengabaikan dan meremehkan nasihat Tunku. Kerana, apa pun yang terjadi, JDT masih lagi terus maju dari hari ke hari. Masih lagi tampil sebagai kuasa dominan dalam Malaya dan terus memperbaharui catatan kejayaan demi kejayaan dalam Malaysia malah di arena antarabangsa.
“ Saya seorang yang sangat berterus terang.”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.