KITA MENANG LAGI BUKTI DIAM ITU PINTAR

Kecewa seluruh Malaysia dan isi alamnya apabila hasrat hati untuk melihat sang Harimau Selatan hilang taringnya tidak menjadi kenyataan tetapi melihat pasukan lawan mencipta sejarah menjadi kekalahan terbesar dalam Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990.

Diam itu pintar. Selepas menggegar dengan pendekatan berdiam diri ketika sidang media, JDT membuktikan segala-galanya hanya perlu dibuktikan di dalam padang dan bukannya bercerita berdegar-degar di media sosial dan juga di depan wartawan.

Diam itu pintar. Air muka pengendali Selangor yang ceria dan bergurau sehari sebelum perlawanan bertukar menjadi mencuka dan tidak percaya apabila pasukan yang dijangkakan kuat itu sebenarnya tidak langsung menyamai tahap JDT.

Diam itu pintar. JDT pula membuktikan kenyataan ini apabila menjawab segala persoalan yang ditanya dengan persembahan bergaya membaham lawan yang nyata tidak bermaya tetapi hanya handal bermain persepsi dan meminta simpati.

Diam itu pintar. Selangor kononnya bermain persepsi mereka adalah mangsa dalam setiap keadaan tetapi agama Islam ada memberitahu kita bahawa doa mereka yang teraniaya itu akan dimakbulkan dan malam 24 Ogos 2024 segalanya terbongkar.

Diam itu pintar. Kelebihan JDT adalah kita bukan sahaja tahu cara layak ke final tetapi juga tahu bagaimana hendak menang di final dan atas sebab itu, kita sudah mengumpul 28 piala yang diiktiraf sejak penubuhan kelab pada 2013.

Diam itu pintar. Malu bukan kepalang apabila kononnya satu Malaysia menyokong mereka tetapi rupanya mencipta aib dengan kekalahan yang tidak ada ubatnya dan akan menjadi bahan bicara selama tujuh hari tujuh malam dan mungkin juga tujuh purnama.

Diam itu pintar. Penyokong JDT juga menunjukkan kematangan dengan langsung tidak melakukan sebarang provokasi dan hanya hadir, sokong, menang, balik yang saban tahun dilakukan namum tidak pernah berasa jemu dan jelak.

Benar kata pepatah orang putih, ‘action speaks louder than words’ dan JDT berjaya membuktikan pada seluruh negara ianya benar dan kini Harimau Selatan bergembira, Gergasi Merah pula merah matanya.

Tahniah buat JDT, tahniah buat Pemangku Sultan Johor, tahniah kepada semua penyokong tanpa mengira di mana pun anda berada dan kita teruskan menyokong serta pastikan tidak mudah melayan persepsi kerana diam itu pintar.

Ada yang mengaku wira tapi sebenarnya gila dan moga mereka kan sedar, diam adalah pintar. Ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor