KETIKA MUDAH SALAHKAN ORANG LAIN, JDT SUDAH JAUH KE HADAPAN

Tahukah anda, perkara paling mudah untuk dilakukan oleh seseorang individu adalah menyalahkan orang lain sehingga pepatah melayu ada menyebut ‘rumah siap pahat berbunyi’ dan perkara ini sentiasa dan masih terjadi dalam dunia bola sepak tempatan.

Mengapa mudah salahkan orang lain. Kerana pasti ada pentaksub yang akan menyokong bukan kerana faham atau setuju tetapi lebih bersifat angguk-angguk geleng-geleng tanpa mengetahui konteks sebenar perkara yang diperkatakan.

Sejak penubuhan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013, pelbagai perkara positif dapat dilihat berlaku dalam sukan nombor satu negara sehingga ianya bukan sahaja memberi kesan kepada nilai komersil liga tetapi juga melimpah sehingga skuad kebangsaan.

Dari 2013, satu demi satu perkara yang ditambah baik oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor bagi memastikan kelab berpangkalan di Iskandar Puteri itu menepati ciri-ciri kelab profesional pada zaman bola sepak moden ini.

Bermula dari penambahbaikan padang, pusat latihan, bangku simpanan, stadium, bas dan kesejahteraan pemain, semuanya diberikan penekanan yang terperinci mengikut kemampuan dan berpandukan standard bola sepak antarabangsa.

Selepas sedekad, JDT sudah mempunyai 28 piala termasuk di Asia dan kini muncul 24 kelab terbaik Asia di peringkat kejohanan Liga Juara-Juara AFC Elite yang menjadi contoh kepada kelab-kelab tempatan dan serantau.

Harimau Selatan tidak pernah menoleh kebelakang dan terus bergerak kehadapan tatkala banyak pasukan masih tidur dan mengenang sejarah 33 piala dan biar jasa jadi kenangan yang kini kelihatan benar-benar bakal menjadi kenangan.

Apabila pengurusan pasukan-pasukan ini dipersoalkan oleh penyokong, apa yang mereka lakukan adalah menyalahkan pihak yang berjaya dan bermain persepsi seolah-olah mereka adalah mangsa keadaan dan bermain elemen simpati sehingga menjadikan penyokong sendiri muak kerana tidak ada apa yang dapat dibuktikan di dalam padang.

Politik masih menjadi nadi pasukan lain sedangkan di JDT segalanya sudah menjadi sejarah dan kenangan malah telah dikuburkan pada 2013 sehingga tidak ada ruang dan peluang untuk menggunakan kelab ini sebagai medan meraih undi politik.

Kelab lain masih taksub melantik orang politik menjadi pemimpin utama dan hasilnya gaji sangkut, pemain boikot sesi latihan, sesi latihan terpaksa dipinda bagi perlawanan politik sekaligus jelas masih ada bau-bau politik yang mencemarkan nama baik kelab.

Benda yang baik seharusnya diikut tetapi dengan cara mengukur baju di badan sendiri tetapi kerana gula-gula politik, ceritanya tidak mahu kalah dan diangkat bagai pendekar sedangkan pada hakikatnya berlari tidak cukup tanah.

Bukan tidak boleh bersembang lebat namun biarlah ianya seiring dengan kejayaan kelab dan lihat bagaimana JDT hanya berdiam diri tetapi kejayaan dan kebanggaan yang membuat bising bagi pihak kelab.

JDT terus teratas ketika yang lain tidur lena..”

Cetakan biru kejayaan itu sudah ada, seluk poket lihat bajet yang ada, ambil pengurusan yang tahu skop kerja dan belanja ikut kemampuan. Itu sahaja resipi kejayaan yang perlu diturut dan bukan meniru 100 peratus dan selepas apabila gagal, tanpa rasa malu menuding jari dan menyalahkan orang lain.

Foto: Ezreen Abd Talip

Ingat, satu jari yang menuding, empat jari kembali kepada kita. Lihat cermin dan muhasabah diri. Tidak runtuh langit jika belajar tetapi ada adab kepada guru yang perlu dijaga. Gunakan agama bukan untuk parti tetapi untuk diri.

Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, kembali juga pada tanah tetapi kenapa masih bersikap langit. Satu pesanan yang mudah. Fikir-fikirkanlah.