JDT UTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESELESAAN PENYOKONG DI STADIUM SULTAN IBRAHIM

Langkah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup kesemua tempat duduk dengan kain rentang dengan kerjasama rakan komersial, Nike dilihat sebagai langkah bijak dalam memastikan kebersihan dan memulihara Stadium Sultan Ibrahim.

Kebanyakan stadium di Malaysia kelihatan usang dan tidak terjaga kebersihannya ekoran tiada pihak yang bertanggungjawab penuh kepada penyenggaraan stadium. Banyak pasukan menyewa stadium dan meletakkan sepenuh tanggungjawab itu kepada pihak pengurusan stadium.

Berbeza dengan JDT yang memiliki Stadium Sultan Ibrahim dan segala proses penyenggaraan telah diamanahkan kepada syarikat yang dilantik sendiri oleh kelab. Atas sebab itu stadium ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Keselesaan penyokong dan pengalaman menonton bola sepak sentiasa diutamakan JDT dan menerusi inisiatif terbaru ini, tempat duduk Stadium Sultan Ibrahim akan lebih tahan lama kerana tidak terdedah kepada panas matahari mahupun hujan yang sering melanda.

Selain itu, tempat duduk dan teres juga akan bersih dari najis burung yang berterbangan di atas bumbung dan kawasan stadium. Perkara ini sangat penting kerana najis burung boleh merosakkan tempat duduk yang ada.

Dengan proses penyenggaraan dan pemuliharaan yang berterusan, para penyokong terutama pemegang pas bermusim tidak perlu risau tentang tempat duduk masing-masing akan rosak atau berada dalam keadaan yang kotor.

Kerusi kulit untuk pemegang pas bermusim grandstand juga akan terpelihara sekaligus menjamin keselesaan dan suasana menonton akan lebih meningkat dan ianya berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

Apa yang pasti adalah walaupun kelab membelanjakan banyak wang untuk memulihara Stadium Sultan Ibrahim, harga tiket untuk penyokong tetap tidak berubah dan kekal menjadi tiket termurah sama ada bagi Liga Super mahupun Liga Juara-Juara AFC.

Beruntung menjadi penyokong JDT apabila mempunyai peluang menonton perlawanan bola sepak terbaik di stadium yang canggih dan sentiasa terpelihara kebersihannya dengan harga yang paling murah. Teruskan sokongan dan sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang kita ada. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply