JDT PILIH YANG MANA? SUSAH ATAU SENANG

 

JDT Pilih Yang Mana? Susah atau Senang

Hujung minggu ini JDT bakal berdepan pasukan Perak di Larkin. Adakah JDT akan kekal menjarakkan mata atau Perak berjaya merapatkan mata sekaligus membuka persaingan merebut kejuaraan Liga Super.
Perlawanan dua pasukan teratas ini pasti menjadi tumpuan seluruh peminat Liga Malaysia.

JDT walaupun dibarisi ramai pemain bintang dan dua pemain antarabangsa baharu dilihat masih bergelut untuk menjaringkan gol. Setelah liga bersambung, JDT hanya mampu menjaringkan 4 gol dari 3 perlawanan.

Ini adalah statistik yang jelas menggusarkan pasukan. Kemasukan dua pemain antarabangsa baharu dilihat gagal meninggalkan impak yang besar sehingga menggusarkan peminat setia JDT. Perkara ini juga memaksa Tunku Mahkota membuat pembelian pemain baru sebelum tamat jendela perpindahan kedua.

Mungkin untuk kelab sekaya JDT, pembaziran wang tidak menjadi masalah, namun pembaziran mata sangat memberi kesan kepada kedudukan pasukan. Hilang dua mata di tangan PKNS merencatkan rencana 12 mata maksimum di bulan Ramadan.

Kini pilihan di tangan semua pemain dan pengurusan JDT. Adakah mereka ingin memilih jalan yang mudah atau menempuh laluan sukar yang mungkin memberi sesalan di akhir musim. Terlepas slot automatik ke Liga Juara Juara Asia adalah satu tamparan hebat buat pasukan segah JDT.

Hanya kemenangan Sabtu ini mampu mengembalikan cengkaman selesa di takhta liga. Menang, JDT akan didepan dengan 9 mata. Jika seri, kekal 6 mata tetapi jika tewas, margin hanya tinggal 3 mata. Bukan sahaja kepada Perak malah JDT mungkin diasak hebat oleh Pahang, Terengganu dan Kedah.

 

Apa yang boleh melegakan kem JDT adalah semua pemain bebas dari kecederaan. Pemain import yang baharu juga sudah pasti ingin memberikan persembahan terbaik untuk mengelakkan diri disingkir dari pasukan.

Perak kini dipuncak prestasi dengan kesemua pemain import mereka beraksi cemerlang. Pemain tempatan mereka juga bukan calang-calang dan mampu memberikan kejutan. Namun jika mereka dikekang JDT pasti akan menidakkan kebangkitan mereka.

Rekod Mehmet Durakovic yang buruk bertemu JDT pasti menghantui kem Perak ketika ini.
Beliau sudah pasti ingin menebus badi tersebut sekaligus menjadikan Perak pasukan pertama menumbangkan JDT di Larkin.

JDT perlu memastikan kelancaran di ‘final third’ mereka. Tidak guna jika menguasai sehingga 65% perlawanan jika gagal menjaringkan gol. Kehadiran semula Natxo Insa dan Safiq Rahim diharap dapat membantu dalam membuat hantaran maut untuk disudahkan oleh penyerang.

JDT harus menang jika ingin terus menjarakkan mata. Pilihan jalan yang senang ataupun sukar akan kita ketahui sesudah perlawanan ini. Perlawanan seterusnya adalah bertemu Pahang dan Terengganu yang pasti memberi saingan sengit untuk menggagalkan misi kita bermain bunga api lebih awal.

 

Ayuh semua penyokong penuhkan gelanggang keramat kita. Jangan jadikan bulan Ramadan sebagai alasan. Jika kita gagah ke bazar karat untuk sepasang baju raya mana mungkin kita tidak bisa gagah melangkah ke stadium demi cinta kepada JDT.

Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan Johor Darul Takzim. Luaskan Kuasamu Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply