JDT MANFAATKAN ‘FEEDER CLUB’ DALAM SISTEM PENGGILIRAN PEMAIN

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai jumlah pemain yang cukup banyak yang diletakkan di dalam pasukan utama dan juga pasukan pembangunan. Ini perlu dilakukan kerana mereka perlu menggilirkan pemain bagi menghadapi musim yang panjang.

Kebiasaannya JDT akan bertanding dalam empat pertandingan setiap tahun. Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC. Oleh sebab ini barisan kejurulatihan perlu memastikan mereka mempunyai cukup pemain yang cergas dan mampu bermain ketika diperlukan.

Musim 2020 yang dipendekkan ekoran penularan pandemik Covid-19 melihatkan JDT benar-benar memanfaatkan ‘feeder club’ sebagai tempat untuk para pemain mendapatkan minit permainan dan mengembalikan kecergasan.

Selain itu beberapa pemain muda dari JDT II juga diserap naik ke pasukan utama dan ada antara mereka yang kekal dan konsisten membarisi kesebelasan utama pasukan utama JDT. Mereka jelas tidak kekok kerana telah lama berlatih bersama-sama dalam sesi latihan berpusat.

Melihat contoh kepada perlawanan terakhir menentang Melaka United, JDT turun tanpa kelibat Natxo Insa, Diogo dan Hariss Harun. Namun ianya sedikit pun tidak merencatkan perancangan jurulatih dan pemain ‘feeder club’ menjalankan tugas dengan cemerlang.

Gary Steven Robbat beraksi cemerlang melindungi benteng manakala pemain remaja meningkat naik Ramadhan Saifullah juga selesa menggantikan tempat hero JDT, Safawi Rasid.

Kemasukan Fernando Rodriguez, pemenang kasut emas Liga Super 2019 berjaya mengubah rentak permainan JDT dan akhirnya JDT berjaya meledak lima gol dengan Fernando berjaya memenangi satu penalti, menjaringkan satu gol dan membuat satu bantuan jaringan.

Arif Aiman dan Feroz Baharudin adalah antara produk akademi JDT yang berjaya dibawa naik ke pasukan utama dan beraksi dengan penuh keyakinan. Ini membuktikan pemain yang ada di ‘feeder club’ JDT juga bertaraf Liga Super.

Kini cabaran Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) akan menjelang. Berstatus juara bertahan Piala Malaysia, JDT pastinya mahu melakukan yang terbaik dan mungkin platform Piala Malaysia ini akan digunakan sebagai medan menguji pemain bagi mendapatkan skuad terbaik untuk saingan ACL. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply