JDT KALAH 5-1! TENANG SEMUA, MUSIM BARU BERMULA

 

Bukan mudah sebagai penyokong pasukan hebat seperti JDT untuk menerima kekalahan. Apa lagi dengan jumlah jaringan yang besar seperti apa yang terlakar di Kobe. Namun apa yang berlaku itu sebenarnya membawa lebih banyak kebaikan dari keburukan.

Kita semua harus kekal tenang. Jika mereka yang berbelanja ribuan ringgit ke Kobe masih mampu tersenyum mengapa kita yang terpacak di hadapan tv mahu mengentan tidak tentu pasal. Tenang anak muda.

Pemilik pasukan, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja juga positif dengan kekalahan ini kerana Baginda faham akan dunia bola sepak. Semua maklum bahawa kualiti bola sepak Malaysia masih jauh di belakang Jepun. Tenang semuanya.

Memetik kata-kata Shahrom Kalam melalui ciapan beliau, JDT berjaya mengurangkan ‘gap’ antara pasukan Malaysia dan Jepun dari 20 tahun ke 10 tahun hanya dalam penampilan kedua di Liga Juara-Juara AFC. Sebagai pemain profesional beliau sangat memahami jurang kualiti bola sepak ini. Sekali lagi kita tenang.

Kita harus akui bahawa dengan kehadiran pemain kelas dunia seperti Andres Iniesta dan Thomas Vermaelan serta beberapa pemain kebangsaan Jepun dalam skuad Vissel Kobe banyak mengajar pemain JDT akan erti bola sepak kelas tinggi. Pelajaran yang tidak akan dapat diajar menerusi teori mahupun dari rakaman video. Pengalaman yang sangat berharga.

Sebagai penyokong kita harus tenang kerana apa yang kita takutkan menjadi kenyataan. Kita tidak mahu jika menang dengan Vissel Kobe kita akan mendabik dada dan merasakan pasukan kita berada di tahap terbaik sekaligus kita mengambil mudah kejohanan domestik dan mungkin terlepas gelaran ketujuh berturut-turut.

Tahukah anda semua bahawa perlawanan semalam adalah perlawanan kompetitif pertama JDT tahun ini. Sudah pasti banyak kelemahan dari sudut sefahaman dan stamina dapat dilihat tetapi tenang musim masih panjang. Tunggu Iniesta dan rakan-rakan bermain pada suhu khatulistiwa dan mereka akan rasa apa yang Kunanlan dan Hariss rasakan apabila bermain dalam cuaca dingin.

Apa yang positif dari perlawanan semalam adalah JDT tetap bermain cara JDT walaupun sudah ketinggalan. Tiada istilah memarkir bas atau bertahan malah JDT tetap bermain hantaran pendek dan sesekali berjaya menyesakkan jiwa Kobe dengan ‘counter attack’ yang pantas. Perkara positif ini perlu kita ambil dengan tenang.

JDT punya kualiti tetapi untuk mencapai tahap tertinggi perlawanan-perlawanan begini harus kerap diharungi. Harus diingat bahawa ini adalah musim kedua JDT di ACL. Semua sudah membuka mata terhadap JDT selepas apa yang mereka peragakan tahun lalu. Jika dahulu mereka dianggap pasukan biasa kini JDT sudah dianggap sebagai ‘dark horses’. Tenang kekal tenang.

Sekali lagi, kita sebagai penyokong perlu bertenang. Jangan melayan dan koyak dengan kutukan penyokong lawan. Sematkan dalam hati bahawa mereka sebenarnya ingin melihat pasukan mereka yang beraksi di peringkat tertinggi Asia ini.

Teruskan sokongan dan ingatlah kualiti JDT di Liga Super sangatlah tinggi. Jika kita berjaya mengekang Kobe pada separuh masa pertama maka yakinlah skuad kita sekali lagi bakal menggegar kejohanan domestik. Apa yang paling penting, kekal tenang dan jadilah penyokong yang ada ‘class’.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply