JDT JADI BUKTI REVOLUSI TUNKU ISMAIL BUKAN OMONG KOSONG

Suatu ketika dahulu, negeri Johor tidak mempunyai satu pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan. Bukan kata hendak menjadi gergasi, hendak menjadi pencabar juga tidak mampu dengan pelbagai masalah birokrasi yang melanda persatuan bola sepak negeri.

Hanya kejayaan pada tahun 1985, 1991 dan 1998 menjadi secebis catatan sejarah sehingga segala-galanya berubah pada tahun 2012 apabila proses revolusi bola sepak negeri Johor dimulakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dengan penubuhan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

‘Fast forward’ ke penghujung tahun 2024, kini JDT sudah menguasai kejohanan domestik dengan 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut dan dilihat semakin menghampiri gelaran ke-11 dengan tidak ada pasukan mampu menghalang.

JDT bukan sahaja muncul sebagai juara tetapi juga menetapkan ‘standard’ baharu kelab bola sepak di Malaysia dengan mempunyai fasiliti kelas dunia bermula dari kantin, pusat latihan dan stadium yang turut menjadi pusat pelancongan di negeri Johor.

 

Kini Tunku Ismail sedang sibuk melakukan revolusi kedua dalam bola sepak dengan skuad kebangsaan, Harimau Malaya pula bakal mendapat sentuhan midas serta kepakaran dari Pemangku Sultan Johor itu.

Acuan profesionalisme yang diterapkan di JDT serta segala aspek penting untuk bola sepak moden dititik beratkan buat Harimau Malaya yang menperlihatkan satu revolusi besar-besaran berlaku bagi memastikan skuad bola sepak negara mencapai tahap yang lebih membanggakan di mata dunia.

Dengan ‘connection’ yang ada pada Tunku Ismail dengan pemegang taruh bola sepak seluruh dunia, tidak mustahil skuad kebangsaan selepas ini akan kembali menjadi gergasi Asia dan mungkin boleh menggegar dunia namun segalanya memerlukan masa.

Mungkin ada yang skeptikal tetapi sejarah telah membuktikan Tunku Ismail adalah seorang individu yang pakar tentang revolusi bola sepak dan contohnya ada di Johor tanpa perlu kita pergi ke negara-negara luar lain untuk belajar.

Hanya perlu rendahkan ego dan pandang dengan segala apa yang berlaku di selatan dan anda akan dapat lihat, dengar dan rasakan apa yang dimaksudkan dengan revolusi. Ianya bukan omongan kosong ataupun cerita dongeng tetapi hasil kerja keras dan ‘passion’ terhadap sukan bola sepak.

Ketokohan Tunku Ismail berjaya meyakinkan Kerajaan Madani untuk memberikan tanggungjawab serta dana kewangan kerana percaya ianya tidak akan disalah gunakan dan akan mendapat hasil seperti yang diharapkan.

Jikalau difikirkan logik akal, mengapa Tunku Ismail perlu bersusah payah untuk merevolusikan skuad kebangsaan sedangkan dia sudah mempunyai segala kejayaan di peringkat kelab dan dikenali ramai ‘fraternity’ bola sepak dunia.

Jawapannya hanya satu, rasa cinta Tunku Ismail kepada bola sepak dan mahu meluaskan kejayaan bukan hanya di peringkat kelab tetapi juga peringkat dunia dan junjung kasih diucapkan atas usaha ini.

‘Trust the process’ dan kita akan lihat hasilnya selepas ini. Harimau Malaya akan mengikuti jejak langkah Harimau Selatan menaikkan imej bola sepak negara di peringkat yang lebih tinggi hasil garapan pasukan terbaik.