JDT BUKTIKAN KITA MASIH KITA

Betapa beruntungnya menjadi penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila saban tahun kita berjaya meraikan kejayaan menjulang trofi kejuaraan jika hendak dibandingkan dengan pasukan-pasukan yang lain.

Ada pasukan yang terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk memenangi piala sedangkan kita menjulang 29 piala dalam tempoh yang sama sekaligus membuktikan konsistensi di bawah kendalian pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.

Bukan satu, bukan dua mahupun tiga, tetapi empat piala dibawa pulang ke Iskandar Puteri saban tahun sehingga memenangi piala ini dianggap rutin buat para penyokong JDT namun ianya masih tidak mengendurkan minat kita untuk menyokong pasukan ini.

Mentaliti kemenangan yang diterapkan Tunku Ismail sememangnya dapat dirasakan pada setiap cabang kelab bermula dari pemain, pengurusan, barisan kejurulatihan dan juga para penyokong sehingga Harimau Selatan tidak pernah tewas dalam 70 perlawanan liga.

Ianya satu rekod baharu iaitu hampir empat tahun tidak tewas dalam Liga Super dan dalam masa satu bulan sahaja, JDT merekodkan empat pencapaian luar biasa yang sememangnya tidak akan mampu dicabar mana-mana pasukan dalam tempoh masa terdekat.

11 tahun berturut-turut bergelar juara liga bukanlah tugas yang mudah. Konsistensi adalah kunci utama selain sikap sentiasa ingin menjadi lebih baik serta menghormati setiap pasukan lawan menjadikan JDT sentiasa berada dalam zon terbaik.

Harimau Selatan juga kini bukan sahaja garang di peringkat domestik tetapi juga sudah mula menjadi buah mulut di peringkat serantau dengan kemampuan bersaing bersama kelab-kelab gergasi Asia di peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.

Kini JDT menjadi salah satu 16 pasukan terbaik di Asia sekaligus mengutip mata yang banyak untuk ranking MA Malaysia dan berpeluang layak ke suku akhir sekiranya berjaya menjinakkan satu lagi kelab terbaik Asia Tenggara, Buriram United.

Kejayaan JDT bukan hanya memberikan kebaikan dan faedah buat kita sahaja tetapi ianya turut dirasai Liga Super itu sendiri apabila slot automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite dan Liga Juara-Juara AFC 2 sudah berjaya menjadi milik Malaysia sehingga musim 2026-2027.

Pasukan lain hanya perlu berusaha lebih kuat untuk sama-sama bermain di pentas Asia kerana laluan sudah disediakan oleh JDT yang tidak pernah mengharapkan ucapan terima kasih sekalipun kerana ianya dilakukan demi kejayaan liga tempatan.

 

Berbaki empat perlawanan liga, JDT sudah pasti mahu menamatkan saingan dengan sekali lagi dengan rekod tanpa kalah selain melengkapkan ‘triple quadruple’ dengan menjuarai Piala Malaysia pada 12 April nanti.

Oleh itu kita sebagai penyokong jangan sesekali tergamak bertanya apa yang perlu kita lakukan. Kita hanya perlu penuhkan stadium dan buktikan kita masih kita. Kelab yang kekal konsisten dengan penyokong yang sentiasa di belakang pasukan. Ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen Abd Talip, JST & AFC