Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih Johor Bahru khasnya sebagai tuan rumah venue berpusat untuk semua perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) haruslah dibanggakan semua yang terlibat dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Johor Bahru bukanlah venue asing buat AFC untuk menjalankan beberapa perlawanan antarabangsa dengan Stadium Larkin pernah menjadi gelanggang penentuan kelayakan Piala Dunia 1998 antara Jepun dan Iran.
Jepun berjaya ke Piala Dunia dan hingga kini Stadium Larkin menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Jepun dan wujudnya galeri bola sepak Jepun di stadium itu.
Johor Bahru juga adalah salah satu venue ketika Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Remaja 1997 dengan Pablo Aimar yang ketika itu remaja membuka mata dunia dengan aksi memukau di Larkin.
Siapa sangka, 17 tahun kemudiannya, Pablo Aimar kembali ke Larkin dan kali ini sebagai pemain JDT yang membantu melonjakkan nama JDT di pentas kelab Asia dan dunia.
Kini, Johor Bahru sekali lagi bakal menjadi tumpuan Asia dan dunia apabila perlawanan peringkat Kumpulan I ACL akan diadakan secara karnival di Stadium Sultan Ibrahim dan berkemungkinan Stadium Larkin.
Selain dari infrastruktur bola sepak yang lengkap di Johor Bahru dengan pelbagai padang latihan bertaraf antarabangsa, bandar ini juga mempunyai lapangan terbang Antarabangsa yang membolehkan pasukan tiba langsung ke Johor tanpa perlu transit di Kuala Lumpur.
Selain itu, kemudahan hotel berbintang lima juga banyak dan membolehkan pasukan mendapat penginapan yang selesa untuk berehat dan juga melakukan latihan pemulihan di kolam renang.
Bandar Raya moden juga memainkan peranan kerana ianya lengkap dengan hospital dan pusat perubatan yang canggih yang diperlukan jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini di dalam padang.
Faktor keselamatan bandar juga dinilai dan Johor Bahru mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dengan skuad unit beruniform yang lengkap dan sentiasa bersedia.
Siapa sangka, JDT bukan hanya bermain di Asia, tetapi kini bakal menjadi tuan rumah kepada kejohanan kelab terbesar dan terbaik Asia. JDT pastinya mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Buat para penyokong tunjukkan kepada mereka siapa kita. Berikan hospitaliti terbaik dengan servis dan layanan kelas dunia dan mana tahu mungkin Stadium Sultan Ibrahim boleh dipilih pula sebagai venue perlawanan akhir ACL akan datang.
Tahniah TMJ, tahniah JDT, tahniah semua penyokong. Pelaburan yang dilakukan tidak pernah sia-sia. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.