Kerjaya ejen bola sepak adalah antara kerjaya yang memberi pulangan lumayan kerana komisen yang ditawarkan dalam dunia bola sepak moden ini sangat menggoda jiwa dan raga serta mampu untuk hidup mewah.
Semakin banyak ejen bola sepak muncul dan semakin banyak juga ejen auta atau ‘bogus agent’ yang semakin berleluasa menjual pemain demi mendapatkan komisen yang lumayan. Akhirnya banyak pasukan ditipu dan akhirnya terpaksa menanggung biawak hidup ekoran pemain yang cedera atau sekadar handal di laman sosial.
Kini, nama pemain-pemain muda di Malaysia seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari dikatakan sedang diintai oleh pencari bakat di Eropah dan ini semua berlaku apabila saga Luqman Hakim tercetus.
Ejen-ejen sudah mula menjual nama pemain-pemain muda negara ini bagi menguatkan profil agensi mereka. Bagaimana anda mengatakan anda agensi berpengalaman di Eropah jika Luqman adalah prospek pertama anda? Jadi mereka menjual pula nama untuk menunjukkan yang mereka seolah membuka mata terhadap pemain tempatan.
Perkara ini biasa dilakukan oleh ejen-ejen di Eropah yang akan mengaitkan prospek mereka dengan kelab Liverpool atau Manchester United semata-mata untuk mempunyai ‘bargaining power’ serta kemampuan meletak harga melebihi pasaran bagi seseorang pemain yang belum jelas kemampuannya.
Apa yang menyedihkan sebenarnya adalah mentaliti penyokong kita yang gelupuh apabila mendengar perkataan kelab Eropah terutama tanah tumpahnya darahku orang Malaysia, England. Semua bagai hilang pedoman dan sanggup mengutuk tindakan pemain yang tidak mahu ke Eropah jika hanya sekadar memanas bangku simpanan.
Mereka bersikap hipokrit dengan menganggap tindakan itu sebagai negatif tetapi jika pemain itu berpindah ke JDT, merekalah orang pertama yang menyelar perpindahan itu dengan mengatakan hanya akan memanaskan bangku simpanan sahaja.
Nampak tak bagaimana ejen memanipulasi minda penyokong kita dengan menjual nama England hingga menimbulkan rasa gelupuh dan ‘feel good factor’ kepada penyokong tempatan. Akhirnya ejen mengaut ribuan hingga jutaan ringgit manakala bakat pemain muda kita akhirnya kelaut.
Atas sebab inilah, JDT menerusi Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards mengeluarkan kenyataan bahawa perniagaan bola sepak bukanlah hanya dari cerita dongeng tetapi jika benar ada yang berminat pasti surat rasmi akan tiba di meja mereka.
Janganlah kita semua mudah teruja dengan cerita dongeng ejen-ejen ini. Bagai meminang anak gadis, semuanya perlulah dilakukan mengikut adat resam dan adat setempat. Janganlah berminat dan langsung ‘claim’ bahawa gadis itu kini milik anda.
Di akhir Syawal ini, marilah kita bermuhasabah dan fikirkan kembali mengapa tiada seorang pun pemain Thailand di Liga Inggeris walaupun beberapa kelab di sana adalah milik penuh warga Thailand. Kerana standard pemain Asia Tenggara masih jauh dan hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu ejen bola sepak. Fikir-fikirkan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.