Kisah aksi cemerlang JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang mengejutkan banyak pihak nyata menjadi bualan peminat bola sepak tempatan ketika ziarah menziarahi di Aidilfitri.
Peluang untuk menyambut lebaran di utara tanah air berjaya menguntum senyum apabila kesemua rumah yang disinggahi akan bertanya dan bercerita tentang kejayaan JDT.
Latar belakang sebagai penulis sukan dengan pelbagai cerita dalaman yang tidak diketahui ramai menjadikan perbualan lebih hangat dan lebih realistik.
Ramai yang bangga dengan kejayaan JDT dan ramai yang berharap agar pasukan kesayangan mereka dapat mengikut jejak langkah JDT terutama dalam penambahbaikan fasiliti latihan.
Mereka sedar bukan mudah untuk menjadi seperti JDT terutama dari segi kewangan tetapi mereka mahukan pengurusan yang lebih profesional dan mempunyai minat yang mendalam dalam bola sepak.
Peluang menonton perlawanan Liga Super antara Kedah dan Melaka di Stadium Darul Aman juga sangat menarik kerana para penyokong Kedah dilihat membandingkan aksi pasukan mereka dengan JDT.
Kedah yang bakal beraksi di Piala AFC dan dilihat boleh menambahkan lagi mata MA Malaysia tiba-tiba beraksi longlai dan menimbulkan keresahan kepada para penyokong mereka.
Pertemuan dengan penyokong Pulau Pinang ketika menjamah nasi kandar power juga membawa kisah yang sama. Mereka juga mahu Penang FC lebih bersedia kerana selepas ini slot ke kejohanan kelab terbaik Asia itu sudah bertambah kepada 2+2.
Kejayaan JDT bukan sahaja membanggakan kita sebagai penyokong Harimau Selatan tetapi ianya telah membuka mata penyokong pasukan lain untuk mendesak pengurusan mereka untuk berubah seiring dengan apa yang JDT lakukan.
Benarlah kata Hail Amir dan Uji Rashid, Indahnya sungguh di Hari Raya, ramainya orang bersuka ria. Syawal kali ini ternyata menghadirkan rasa suka dan bangga kepada penyokong JDT.
Tetapi janganlah rasa terbuai dengan pujian. Kita akan menyambung tugasan sebagai penyokong untuk aksi Liga Super yang bakal bermula semula pada 11 Mei ini. Luaskan Kuasamu Johor.
Oleh: Firdaus JJ
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.