Kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di dalam dan di luar padang sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi dengan pelbagai kejayaan demi kejayaan dapat dicapai meskipun hanya ditubuhkan pada tahun 2013.
Katalah apa pun yang negatif tentang revolusi Harimau Selatan tetapu fakta dan statistik sememangnya tidak menipu dan kini JDT semakin hampir mencipta satu lagi lipatan sejarah dengan bulan Februari 2025 bakal menjadi saksi.
Tidak ramai yang sedar atau perasan bahawa kelab milik DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor kini dalam proses mencipta tiga rekod baharu dan jika diizinkan Tuhan, satu lagi sejarah akan tercipta dan termaktub dalam lipatan sejarah kelab.
Seawal satu Februari, JDT akan mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut sejak 2019 (tahun 2020 tidak diadakan ekoran pandemik Covid-19) dengan berkelebihan empat jaringan ke atas Terengganu FC.
Dari empat perlawanan akhir sebelum ini, JDT muncul juara tiga kali dengan menewaskan Kedah Darul Aman, Selangor dan Terengganu dengan hanya Kuala Lumpur City FC menjadi penghalang pada edisi 2021.
Tidak cukup dengan dominasi di kejohanan domestik, JDT kini sedang mengorak langkah untuk muncul sebagai lapan pasukan terbaik Asia Timur dengan layak ke peringkat 16 Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Dua perlawanan menentang jaguh Australia, Central Coast Mariners serta jagoan Republik Korea, Pohang Steelers banyak menguji tahap kekuatan sebenar anak-anak buah Hector Bidoglio dan jika dua kemenangan berjaya dilakar, Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi saksi kejayaan terbesar kelab ini.
Tiada yang mustahil dalam bola sepak dengan skuad JDT yang sentiasa disuntik semangat sentiasa mahu memperbaiki pasukan untuk lebih berkembang dijangka akan sekali lagi melakar malam gemilang Asia di hadapan penyokong sendiri pada 18 Februari 2025.
Seakan-akan tidak cukup, pola kejayaan sentiasa mengekori langkah JDT dengan peluang muncul juara Liga Super buat kali kesebelas berturut-turut – satu rekod yang sememangnya tidak akan dipecahkan dalam tempoh waktu yang terdekat.
Dua aksi bertemu PDRM FC dan Perak FC di gelanggang sendiri bakal menjamin enam mata maksimum yang diperlukan untuk bergelar juara dan penyokong JDT sekali lagi bertuah apabila momen ini bakal berlangsung di hadapan mata sendiri di Stadium Sultan Ibrahim pada 27 Februari 2025.
Jika dilihat, inilah hasil usaha Tunku Ismail yang sekian lama sering memberikan penekanan kepada semua aspek terbaik buat pasukan, pemain dan juga penyokong yang mana kita sebagai penyokong perlu berterima kasih.
Oleh itu marilah penuhkan stadium tanpa mengira apa jua perlawanan kerana itulah tandanya kita membalas segala apa yang telah dilakukan dan juga akan menjadi sebahagian daripada sejarah kelab kesayangan kita ini.
Seperti biasa pedulikan apa yang orang kata kerana kita adalah JDT dan semuanya adalah tentang kita. Mari bersama lakar tiga sejarah dalam tempoh satu bulan yang mana ianya mustahil buat kelab lain untun melakukannya. Jadikan ini sebagai sebuah kisah klasik untuk masa depan. Luaskan Kuasamu Johor.