BUKAN MUDAH UNTUK JDT KEKALKAN STANDARD SEBAGAI PIONEER

Semua sedia maklum bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pelopor atau ‘pioneer’ dalam arena bola sepak moden tempatan bermula dari apa yang berlaku di luar padang hingga ke dalam padang.

Perubahan positif 360 darjah ini tidak pernah disaksikan mana-mana pasukan sebelum ini dan kini selepas 10 tahun JDT bertapak, bibit-bibit perubahan mula kelihatan pada pasukan-pasukan lain yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Bukan mudah untuk menjadi ‘pioneer’ kerana idea dan keberanian berubah yang diperlukan itu tidak semudah ABC tetapi untuk mengikuti apa yang dibuat oleh ‘pioneer’ lebih mudah kerana kos dan efektifnya sudah kelihatan.

Mengambil contoh pusat latihan dan permukaan padang di stadium, JDT terlebih dahulu menekankan kepentingan dua perkara ini dalam bola sepak moden dan akhirnya satu demi satu pasukan lain mula melihat kepentingan ini dan perlahan-lahan berubah menaik taraf pusat latihan dan menukar padang daripada cow grass ke rumput yang lebih berdaya tahan.

Kita tidak perlu menyentuh isu stadium kerana hanya JDT yang mempunyai stadium sendiri dengan pasukan-pasukan lain masih bergantung harap pada kerajaan negeri untuk melaksanakan proses menaik taraf atau membina stadium sendiri.

Sekarang kita lihat pula pada saingan pra musim dimana JDT terlebih dahulu pergi ke Thailand untuk menguji kelab-kelab di sana sebagai persediaan menghadapi kempen Piala AFC ketika itu dan kini JDT sudah meninggalkan Thailand dan hello Dubai kerana lawan setaraf mereka ada di sini.

 

Maksud lawan setaraf adalah lawan yang mempunyai ciri-ciri utama pasukan handalan Asia yang bertanding di Liga Juara-Juara AFC dan hasilnya, JDT kini bukan lagi pasukan yang kandas di peringkat kumpulan tetapi 16 kelab terbaik Asia untuk musim 2022. Ini adalah fakta yang tidak boleh disangkal.

Kini majoriti kelab-kelab Malaysia menjadikan Thailand sebagai kem latihan pra musim mereka kerana semakin banyak kelab negara ini yang mendapat peluang bersaing di Piala AFC dan mereka memerlukan ‘sparring partner’ yang lebih ampuh.

 

Bukan mengatakan pra musim di Malaysia sebagai tidak bagus tetapi sudah sampai masanya kita keluar dari kepompong keselesaan dan mula melihat dunia luar yang lebih sengit dan membawa kebaikan kepada kelab-kelab tempatan.

Tindakan JDT berkongsi kegembiraan pemain dan pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor membeli belah dan makan malam di restoran mewah di laman sosial rasmi bukan kerana hendak berlagak tetapi mahu menunjukkan bagaimana jika kebajikan pemain dijaga dengan baik, pemain akan bermain mati-matian untuk kelab.

Inilah standard yang diletakkan oleh JDT sebagai ‘pioneer’ dan ingat bukan mudah untuk mengekalkan perkara ini kerana pada bila-bila masa sahaja pasukan lain boleh meniru dan melakukan perkara yang sama untuk pemain mereka.

Jadi apa standard yang perlu kita lakukan sebagai penyokong? Teruskan menyokong, turun ke stadium, beli barangan asli dan sentiasa berada di belakang pasukan tanpa mengira apa pun keadaan yang berlaku. Ingat kita semua JDT Family dan ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor