Kadang kala terfikir sejenak mengapa media di Malaysia sangat anti dengan JDT. Segala laporan yang dilaporkan seolah-olah datang dari ‘troll page’ dan bukannya dari media massa yang mempunyai kredibiliti.
Lihat sahaja cara pelaporan media ketika JDT tewas kepada Shandong Luneng di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL). Rata-rata akhbar memberikan tajuk yang negatif dan seakan-akan tidak faham akan kedudukan JDT dalam kejohanan ACL.
Kalah memang kalah. Tetapi kita harus akui bahawa JDT berjaya memberikan tentangan kepada kelab Republik Rakyat China yang mengambil kesempatan kepada kekuatan dua penyerang import mereka. Pemain tempatan mereka rata-rata berjaya disenyapkan oleh pemain JDT.
Hanya ‘individual brilliance’ dan penalti sahaja yang memisahkan JDT dan Shandong. Mereka hanya menang kerana pengalaman pemain mereka bermain di EPL sahaja. Tetapi apa yang media Malaysia laporkan adalah JDT gagal menang, tidak berjaya halang Shandong, kemenangan pertama terbantut dan macam-macam lagi.
Tahukah anda JDT tewas tipis di laman lawan dengan cuaca yang bukan menjadi kebiasaan buat pemain. Dan tahukah anda JDT adalah ‘underdog’ dan bukannya ‘favourite’ di kejohanan ACL. Saya andaikan anda tidak tahu dan anda tidak tonton pun perlawanan itu berdasarkan tajuk berita anda.
Saya bukan hendak menghukum media tetapi cara laporan anda sangat bias terhadap JDT. Insiden 3 kad merah keatas Felda United anda gunakan sepenuhnya ruangan sukan anda untuk menghentam JDT. Bagi mereka yang menonton perlawanan itu memang jelas tiga kad merah itu patut diberikan oleh pengadil.
Tetapi media semua jangan risau dan bimbang kerana JDT perlukan anda sebagai medium kebencian. Semakin anda menyuntik rasa benci terhadap JDT semakin jauh JDT berkembang dan meninggalkan pesaing.
Kerana berdasarkan kajian sendiri, semakin dipuji sesuatu pasukan semakin lemak pasukan itu dan akan bermulalah krisis prestasi. Tanyalah Selangor yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh media. Dan lihat dimana mereka sekarang.
Mengapa tidak bertanya kepada Khalid Ali mahupun Jamal Nasir tentang kualiti JDT di peringkat Asia. Kerana mereka juga tidak mampu untuk memuji pasukan yang mereka pernah kritik suatu masa dahulu. Mereka hanya tahu mengkritik menggunakan alasan ‘legenda’.
Sekali lagi saya ingin tekankan kepada media berikan laporan yang adil dan saksama. Jika anda boleh lakukan untuk politik mengapa tidak untuk sukan. Ingatlah bahawa anda media yang dipercayai dan bukannya media ‘troll’. Fikir-fikirkanlah.
Omar Osman, Bangsar
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.