Biarkan Haters Melalak
Jumaat ini penyokong JDT bakal menyaksikan sambutan kejuaraan yang luar biasa. Kejayaan menjulang Liga Super 5 tahun berturut-turut adalah satu sejarah manis yang pasti sukar ditewaskan oleh mana-mana pesaing.
Pelbagai aktiviti telah dirancang pihak pengurusan untuk membalas budi para penyokong JDT selama ini. Apa yang lebih menarik, kesemuanya adalah percuma bermula dari perlawanan Liga Super menentang Kelantan, ke khidmat bas perantara hinggalah ke sambutan di Dataran Bandaraya.
Oleh itu marilah kita semua turun ke stadium dan penuhkan Dataran Bandaraya dan tunjukkan kepada semua bagaimana cara Bangsa Johor bergembira. Namun beberapa faktor perlu diambil perhatian oleh para penyokong.
Kita semua maklum perubahan jadual perlawanan dilakukan demi kehendak penyokong yang memohon tarikh diubah ke hari Jumaat. Ia wajar dilakukan agar lebih ramai penyokong turun untuk meraikan kejayaan pasukan kerana Jumaat adalah hari cuti bagi Negeri Johor.
Oleh itu, sila pastikan anda semua turun memeriahkan majlis kerana ini dibuat atas kehendak anda semua. Teruk pengelola liga ditempelak kerana dikatakan mengikut kata Pengerusi MFL. Jadi, jika kehadiran tidak seperti diharapkan maka segala kerja keras dan budi bicara TMJ akan menjadi bahan kutukan terbaru untuk “haters-haters” JDT.
Jagalah tatasusila ketika berpesta nanti. Yang menaiki bas sila pastikan anda beratur dengan tenang dan jangan berebut. Yang memandu sila pastikan anda tidak memarkir kenderaan anda sehingga menghalang lalu lintas.
Kita tunjukkan kepada semua bahawa penyokong JDT adalah penyokong yang berdisiplin di dalam mahupun di luar stadium. Jangan hanya berbangga mengutip sampah di dalam stadium kerana ada yang memerhati malah di luar stadium juga disiplin ini perlu dipraktikkan.
Di Dataran Bandaraya nanti, sila tinggalkan segala kain rentang serta bendera parti politik kerana malam itu ditujukan khas untuk Bangsa Johor meraikan kejayaan bersejarah pasukan bola sepak Johor Darul Takzim. Cukuplah sekadar membawa bendera negeri atau daerah masing-masing.
Dan sebagai penyokong yang matang dan bereputasi Asia selepas ini, janganlah kita melayan segala tohmahan yang dilemparkan kepada kita di media sosial. Biarkan mereka menyalak. Kita teruskan langkah kehadapan.
Namun, sikap segelintir penyokong yang mudah koyak akibat provokasi di media sosial ini amat dikesali. Usah melayan. Ingatlah bahawa diam itu pintar. Lama kelamaan mereka akan diam dan akhirnya akan akur dengan kelemahan pasukan mereka.
Kepada “haters” pula, teruskan membuat bising umpama anjing menyalak bukit. Tujukan salakan anda kepada pengurusan pasukan anda dan bukannya dengki kepada kejayaan JDT.
Tahniah kepada TMJ, Tunku Aminah, barisan kejurulatihan, pengurusan pasukan, wakil kelab penyokong, Boys of Straits dan penyokong JDT kerana anda berhak untuk berasa bangga dengan sejarah ini. Namun jangan pula kita menghina pasukan lain kerana tanpa mereka kita tiada pesaing. Malam ini kita punya.
“When people hate on you, it’s because you’ve got something they want..”
Luaskan Kuasamu Johor
Haters Gonna Hate
Azlee Jaafar
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.