BERJUANGLAH DEMI TMJ WAHAI HARIMAU SELATAN

Tular di semua media apabila pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menyatakan hasrat Baginda meletak jawatan sekiranya JDT tewas sekali lagi kepada Kuala Lumpur City FC esok.

Semuanya berlumba-lumba cuba menjadi yang pertama melaporkan berita ini demi menarik perhatian pembaca sekaligus menghangatkan saingan Piala Sumbangsih 2022.

Apa yang diperkatakan oleh TMJ itu perlu diambil serius oleh barisan pemain Harimau Selatan kerana suka atau tidak, tanpa TMJ tiadalah JDT dan tiadalah kejayaan dan kebanggaan yang kita semua nikmati kini.

Kalah bukanlah DNA yang ada pada pasukan JDT. ‘Winning mentality’ yang sentiasa diterapkan dalam setiap diri pemain pastinya akan menjadi pemangkin buat JDT untuk menjulang piala ke-19 dalam sejarah kelab sejak 2013.

Oleh itu para pemain dituntut untuk memberikan segalanya pada perlawanan esok bagi memastikan JDT memulakan musim 2022 dengan momentum kemenangan dan yang paling penting kekal diterajui TMJ.

Tuntutan ini bukan sahaja buat para pemain tetapi juga buat para penyokong yang hadir ke stadium esok. Pastikan anda gamatkan suasana Stadium Sultan Ibrahim dengan sorakan padu yang pastinya diketuai oleh Boys of Straits.

Tetapi walau apa jua keputusan, kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Ini lah bola sepak. Menang kalah itu pasti tetapi apa yang penting adalah cara kita bangkit menghadapi kekalahan.

Ayuh JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply