Ketika dunia bola sepak sedang tergendala ekoran pandemik Covid-19 ini, kerinduan untuk turun ke stadium membuak-buak hinggakan saya termimpi-mimpi akan kecantikan Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi kebanggaan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor serta seluruh famili JDT.
Imbas kembali tanggal 22 Februari 2020 semasa stadium itu dilancarkan, semua mata tertumpu kepada stadium bola sepak canggih yang seumpanya di Malaysia ini. Akibat dari mempunyai masa terluang di rumah semenjak Perintah Kawalan Pergerakan, ingin saya kongsikan beberapa fakta mengenai Stadium Sultan Ibrahim ini.
Stadium yang terletak di kawasan seluas 34 hektar di Iskandar Puteri ini mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 35,000 dengan 280 tempat duduk VIP beserta lapan corporate box yang enak dipandang mata dan satu Royal Box untuk kegunaan tetamu Diraja.
Tetamu di suite mewah ini bukan hanya mempunyai pemandangan menonton yang terbaik di seluruh stadium malah turut disaji dengan makanan yang disediakan barisan chef dari hotel terkemuka di Johor Bahru.
Teluk Belangah Suite, Temasek Suite, Timbalan Setia Johor Suite, Dushanbe Suite, Johor Ellestina Suite, Buccaneer Suite adalah nama corporate box yang habis ditempah oleh para penaja. Nama-nama ini mewakili identiti, kejayaan dan sejarah negeri Johor dan juga Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Permainan bola sepak sebenar boleh dimainkan dengan baik di stadium ini apabila lapangannya di pasang dengan rumput jenis Zoysia Zeon yang baik serta mempunyai sistem saliran terbaik yang menyebabkan padang bebas dari takungan air meskipun hujan lebat.
Selain itu, bilik persalinan pemain yang serba lengkap beserta sauna dan jakuzi boleh membantu pemulihan pemain dengan segera sekaligus menjadikan para pemain lebih bersemangat untuk beraksi dengan cemerlang.
Perlawanan bola sepak yang baik harus disertai dengan ‘match experience’ yang terbaik. Stadium ini mempunyai fasiliti yang meletakkan penyokong di dalam fikiran. Dengan 36 kemudahan tandas, tujuh surau dan hampir 3,500 petak parkir disediakan untuk memastikan keselesaan penyokong.
Kawasan persekitaran stadium juga dihias indah dengan lanskap taman serta mempunyai ruang air pancuran yang sesuai menjadi latar belakang untuk sebuah gambar sempurna yang boleh dimuat naik di laman sosial setiap pengunjung yang hadir.
Stadium ini juga menepati piawaian antarabangsa dari FIFA dan AFC sekaligus mampu menganjurkan perlawanan bola sepak antarabangsa. Dengan kemudahan bilik sidang media yang mampu memuatkan 100 orang, liputan perlawanan boleh disampaikan dengan selesa oleh petugas media langsung dari pusat media yang ada di lantai bawah stadium canggih ini.
Tanpa melupakan golongan kelainan upaya yang sentiasa menjadi tunjang penyokong JDT, Stadium Sultan Ibrahim ini juga dilengkapi dengan pelbagai fasiliti mesra OKU bagi memudahkan mereka sekaligus dapat menikmati perlawanan bola sepak berkualiti.
Pemegang pas bermusim dan Boys Of Straits juga mempunyai kawasan tersendiri sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan. Pemegang pas bermusim di bahagian grandstand juga bertuah kerana dilengkapi dengan kerusi kulit yang cukup selesa.
Itu lah sedikit sebanyak fakta mengenai Stadium Sultan Ibrahim. Sebagai penyokong apa yang perlu dilakukan adalah menjaga kebersihan dan jauhi vandalisme. Stadium ini juga diwartakan sebagai kawasan bebas asap rokok. Oleh itu mari kita patuhi arahan ini bagi memastikan semua yang hadir dapat menonton dengan selesa.
Marilah kita berdoa agar pandemik Covid-19 ini segera dibendung agar kita semua kembali dapat membingitkan suasana Stadium Sultan Ibrahim. SSI sesungguhnya aku rindu kamu.
Foto: Emmer Farid – SNE
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.