ANGKA L-I-M-A
Oleh : Hafiz Othman
Hari ini adalah penulisan dan bukan cerita seperti kebiasaan artikel yang saya buat. Kali ini saya mahu menulis secara bahasa mudah untuk cepat sampai ke pembaca-pembaca yang membaca. Saya faham ramai dikalangan sahabat-sahabat tidak gemar dengan bahasa yang terlalu berat. Dengan lafaz bismillah kita mulakan perbincangan secara ilmiah.
“Pembuka kata”
Mahu jadi berjaya seperti Pasukan Johor Darul Ta’zim?
Bagaimana mereka menjadi juara hanya dalam masa yang teramat singkat? Apa resipi rahsia atau formula yang diadaptasikan oleh mereka?
Kunci nya adalah “Angka LIMA”.
LIMA?
YA LIMA!
Mari kita bentangkan apa ada pada LIMA dan apa kaitan dengan kejayaan yang dirangkul oleh JDT selama lima tahun berturut-turut ini.
“Nombor Satu”
“Lancarkan Misi,Visi dan keikhlasan dalam menerajui organisasi”
Pasukan yang ingin kejuaraan perlukan seorang pemimpin yang mempunyai misi,visi dan keikhlasan dalam sesuatu organisasi. Kunci utama kejayaan yang JDT kecapi sehingga kini adalah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Tanpa TMJ, JDT tidak mungkin berada ditahap sekarang. Disekitar tahun 2012, Tunku Ismail mengambil alih dan telah merombak organisasi tersebut hingga ke akar umbi pengurusan. Segala kemelut dalam organisasi di reunifikasi sehingga tiada sisa.
“Saya mengadakan satu mesyuarat dengan PBNJ dan saya memberitahu bahawa setiap seorang daripada mereka perlu mengosongkan pejabat dan meninggalkan persatuan. Ianya memerlukan permulaan yang baru, dan saya tidak mahu individu-individu yang korup untuk merosakkan usaha tersebut.”
Selepas itu, segala pasukan dibawah gabungan PBNJ di teliti. Langkah menyatukan pasukan-pasukan di bawah satu identiti bakal dibuat. Maka, sejak itu tertubuhnya JDT. Misi dan visi penubuhan bukan sekadar Kelab Bolasepak atau menguasai bolasepak negara, tetapi juga sebagai jambatan menuju ke arah perpaduan bangsa Johor.
“Nombor Dua”
“Penambahbaikan dan kemajuan”
Apabila telah mempunyai Nakhoda yang berkarektor seperti Tunku Ismail, oraklah ke langkah kedua. Segala fasiliti,infra atau penjenamaan (rebranding) perlu di tambah baik. Stadium dan segala keperluan pemain adalah perlu dan mandatori untuk meningkatkan prestasi.
Dengan cukupnya segala fasiliti atau infra ini, imej pasukan akan dipandang tinggi. Langkah ini juga berjaya menarik minat pelbagai penaja dan pelabur, malah mampu menarik minat dalam persaingan bagi merebut pemain terbaik dalam dan luar Negara. Ini terbukti, ketika itu apabila JDT berjaya memancing Safee Sali untuk bermain semula ke Malaysia dan juga tanpa disangka TMJ berjaya menarik minat Dani Guiza dan Luchiano iaitu pemain bintang dunia untuk bermain bersama pasukan Harimau Selatan. Kemuncak kegembiraan peminat JDT apabila Pablo Aimar bersetuju menyarung jersi Merah biru dan beraksi di Liga yang diklasifikasi sebagai liga Gred D .
Sesuatu impian rakyat Johor dan Malaysia secara khususnya, melihat pemain terkenal dunia bermain di Liga tanah air. (selama ini kita hanya berangan dapat membawa pemain-pemain ternama ini ke pasukan tempatan semasa bermain permainan video atau komputer).
“Nombor Tiga”
“Pengurusan yang sistematik”
Pengurusan yang bersistematik, tiada birokrasi dan yang paling penting tiada unsur korupsi menjadikan sesebuah pasukan itu teguh dan tegap. Perkara ini adalah langkah yang dipandang serius oleh Tunku setelah penjenamaan semula pasukan. JST( Johor Southern Tigers) dijadikan sebuah organisasi yang bebas dari kekangan parti politik, kerajaan negeri yang memerintah dan berdiri sebagai organisasi yang mencari dana sendiri untuk bergerak ( suntikan kewangan secara terus oleh TMJ). JDT melalui JST telah menstruktur semula organisasi korporat yang ditadbir selia oleh TMJ. Maka tiada tangan-tangan ghaib boleh masuk mencampuri hal-hal yang melibatkan pasukan JDT.
“Nombor Empat”
“Penyokong yang bersatu padu dan percaya kepada pasukan”
Kepercayaan dan sokongan penyokong adalah satu dari rantai-rantai kejayaan sesebuah pasukan. Dengan keyakinan keatas usaha TMJ, penyokong Johor kembali bersatu memenuhi setiap ruang stadium Larkin yang selama ini kosong. Penyokong telah nampak segala usaha-usaha yang dibuat oleh Tunku. Dahulu, adalah sangat sukar melihat kaum-kaum lain memakai jersi kelab liga tempatan, tetapi kini berbilang kaum di Johor amat berbangga apabila memakai jersi berlogokan JDT. Malahan mereka tanpa segan silu bersama-sama memeriahkan stadium larkin disetiap perlawanan.
Tunku terlalu dekat dengan penyokong-penyokong JDT, inisiatif baginda adalah menyeru penyokong membantu percambahan kelab. Sesi dialog bersama penyokong adalah pendekatan yang amat dinanti oleh penyokong JDT kerana mereka dapat berada lebih dekat dengan idola dan sumber inspirasi rakyat Johor iaitu TMJ. Tunku tidak memerlukan sebarang protokol atau majlis yang perlu siap sedia dengan kompang atau karpet merah. Apatah lagi payung kuning yang memayungi Tunku, Tunku lebih selesa berhujan berpanas sama seperti rakyat biasa. Tunku tidak berasa janggal untuk sama-sama berbual mesra sambil minum kopi bersama penyokong-penyokong JDT. Sesuatu perkara yang tidak ada dan tidak pernah dirasai oleh semua peminat pasukan lain di Malaysia.
Dan terakhir sekali,
“Nombor Lima” ( Paling utama)
“Pengkritik yang benar-benar membenci”
Tanda terakhir bahawa sesebuah pasukan itu menuju kearah kejayaan yang hakiki atau tanda pasukan itu telah berjaya mendominasi bolasepak tanah air adalah wujudnya pengkritik atau pembenci yang benar-benar membenci. Tanpa golongan ini, pasukan atau kelab itu tidak akan berjaya sehingga ke aras dan tahap yang membanggakan. Terima kasih daun keladi! Golongan ini sebenarnya adalah penyumbang dan pelengkap sesebuah kelab seperti JDT untuk bergelar juara dalam masa yang lama. Dalam situasi terkini liga Malaysia, JDT amat dibenci oleh peminat-peminat pasukan yang tidak berjaya menyaingi JDT. Kebanyakan mereka datang dari bekas-bekas pasukan berstatus lagenda yang kini hanya melukut di tepi gantang.
“Ketika JDT berasa selesa dengan pencapaian mereka, itulah hari kelab berkubur”
Ungkapan ini telah TMJ keluarkan untuk mengingati dan menyedarkan semua bahawa kejayaan yang dikecapi ini bukan kekal selamanya. Setiap peringkat, bermula dari pengurusan, pemain dan hingga ke peminat JDT jangan terlena dari keselesaan yang kini mereka rasai.
Apa yang dikatakan oleh Tunku itu dilihat tepat seratus-peratus. Lihat sahaja bekas-bekas juara dahulu, dimana tahap mereka sehingga hari ini? Kerana alpa, mereka bukan siapa-siapa pada hari ini. Masih terkapai-kapai mencari oksigen yang sering kali kurang setiap musim.
Akhirnya,
JDT kini sudah mendahului lebih lima puluh langkah dari pasukan lain di Malaysia, saban tahun langkah itu makin bertambah.
Untuk rekod,
JDT tidak pernah kalah lebih lima kali didalam liga Malaysia diantara tahun 2014-2018. Purata jurang mata yang dikutip setiap akhir musim ialah 2014 (3 mata) 2015 (7 mata) 2016 (15 mata) 2017 (9 mata) dan 2018 (18 mata- berbaki 2 perlawanan lagi).
Jurang ini memperlihatkan JDT bukan saingan mana-mana pasukan-pasukan di Malaysia.
“Mahu seperti JDT? Lengkapkan kelima-lima ciri tersebut”
Dengan ada kelima-lima ciri ini, sesebuah pasukan itu akan berjaya menyaingi atau mengikut jejak langkah JDT.
Sebelum mengakhiri penulisan ini, saya ingin menjawab atau mengingatkan kembali kepada semua peminat Malaysia tentang isu terkini. Anggapan segelintir peminat bahawa MFL kini adalah liga sarkis adalah tidak tepat sama sekali. Liga sarkis Malaysia yang sebenar-benarnya adalah diantara tahun 1994-1995 apabila dimana skandal rasuah telah berleluasa.
Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan oleh pihak berkuasa untuk disoal siasat.
Kebetulan pada tahun 1995 pasukan Selangor telah berjaya menduduki tangga kedua Liga Perdana Malaysia dan menjuarai piala tradisi yang mereka kejar iaitu Piala Malaysia.
Akhir kata ,
Kepada semua pasukan di Malaysia, celik dan bukalah mata anda seluas-luasnya. Bumi tuhan ini luas, jangan sempitkan dengan satu arah fokus sahaja. Sama-sama kita bangkit untuk menaiktaraf imej pasukan anda dan lantas menjadi pesaing sejati pasukan JDT.
” Mengetahui kebenaran, melihat kebenaran, tetapi masih mempercayai pembohongan. Kejahilan boleh cuba dididik dan tidak waras boleh diubati tetapi, tiada ubat untuk kebodohan. Mereka kata wang tidak dapat membeli kejayaan, saya tidak setuju. Wang dapat membeli kejayaan tetapi wang tidak dapat membetulkan sifat bodoh. Orang yang lemah membalas dendam, orang yang kuat sentiasa memaafkan, orang yang bijak akan mengabaikannya”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.