Adilkah Financial Fair Play?
Baru-baru ini satu laman tidak rasmi bola sepak menyatakan bahawa mulai tahun 2019, sistem “financial fair play” patut diperkenalkan oleh MFL demi mengelakkan masalah pembayaran gaji pemain.
Menurut laporan PFAM, 120 pemain didapati tidak dibayar gaji dan adakah dengan wujudnya “financial fair play” perkara seperti ini tidak akan berlaku.
Isu ini bukanlah isu baru. Persatuan sering menyalahkan pasukan yang mempunyai wang sebagai punca rosaknya pasar harga pemain di Malaysia. Berdasarkan undian tersebut, 91% netizen bersetuju untuk mewujudkan “financial fair play”
Maaf cakap, 91% netizen ini jelas tidak memahami kehendak bola sepak moden. Mereka masih di kepompong lama iaitu selesa dengan puluhan juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri ataupun badan berkanun yang berkaitan.
Bola sepak moden adalah perniagaan. Anda tidak akan maju jika bergantung kepada pemerintah. Lihat apa terjadi kepada negeri-negeri yang bertukar kerajaan. Gaji pemain menjadi lewat akibat keengganan kerajaan baru mengiktiraf segala kontrak yang berlaku sebelum ini.
Mungkin 91% ini jugalah peminat yang tidak langsung turun ke stadium untuk membantu kantung persatuan. Mereka ini juga mungkin tidak membeli barangan cenderahati asli pasukan dan hanya berbangga dengan jersi pasar malam.
Jadi bagaimana persatuan hendak mendapat pendapatan tambahan. Jika diwujudkan “financial fair play”, kelab yang mampu menjana pendapatan menerusi penajaan akan menghadapi masalah lebihan kewangan. Dan secara perakaunan ini tidak baik kerana ia membantutkan ekonomi kelab dan pasti akan disoal oleh jabatan audit.
Bola sepak moden harus dijana oleh penajaan. Gaji pemain import seharusnya dibayar oleh penaja. Dan penaja akan mendapat pulangan menerusi pengiklanan langsung di jersi dan tidak langsung di stadium pasukan.
Pasukan seperti Felda, Felcra, PKNS, dan beberapa kelab badan berkanun juga berhadapan dengan ketidak tentuan akibat dari perubahan lanskap politik negara. Jadi “financial fair play” bukanlah jawapannya tetapi kestabilan kewangan adalah segala-galanya.
Inilah formula yang dilakukan di liga-liga profesional dunia. Tidak perlu ke eropah, jengah sahaja ke Thailand dan anda akan lihat bahawa gergasi korporat berlumba-lumba ingin menaja pasukan terbaik dan bukan pasukan kampung asal pemilik syarikat.
Oleh itu belajarlah dengan pasukan jiran jika malu hendak belajar dengan JDT. Ingatlah bola sepak adalah perniagaan dan ianya boleh membawa pulangan berbilion ringgit jika diuruskan dengan betul dan dijauhi golongan politik yang hanya menggunakan bola sepak sebagai platform untuk memenangi hati rakyat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.