Melihat kepada hantaran oleh laman sosial rasmi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengenai kecederaan hamstring yang dialami Syahmi Safari ketika latihan timbul persoalan adakah latihan di JDT adalah yang paling berintensiti tinggi di Malaysia?
Syahmi Safari yang baharu menyertai Harimau Selatan dan mengikuti latihan pra musim di Dubai dilaporkan masih belum mengadaptasi kepada corak latihan yang diamalkan oleh barisan kejurulatihan JDT.
Kalau melihat kepada pola latihan JDT, pemain Harimau Selatan akan menjalani latihan hampir setiap hari termasuk latihan ‘recovery’ bagi memastikan setiap pemain pulih dan cergas untuk menghadapi musim yang panjang.
Para pemain juga dilatih untuk bertahan sehingga 120 minit bagi menghadapi 90 minit masa permainan dan ini dapat dilihat bahawa pemain JDT masih cergas meskipun perlawanan sudah memasuki minit ke-70.
Selain latihan dua kali sehari, para pemain juga dipastikan untuk mengambil makanan yang seimbang dan disediakan oleh pakar nutrisi kelab bagi sesuai dengan kehendak pemain bola sepak moden.
Tidak cukup dengan latihan di padang, para pemain juga perlu menghadiri sesi latihan di gimnasium bagi membina kekuatan otot dan ini dapat dilihat menerusi perbezaan sosok tubuh mereka sebelum dan selepas menyertai JDT.
Perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan JDT bersedia untuk menghadapi perlawanan di peringkat tertinggi seperti di Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang sememangnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Namun, ianya tidak sukar untuk dilakukan di JDT kerana kelab mempunyai fasiliti dan gimnasium bertaraf dunia yang setaraf dengan kelab-kelab ternama dunia yang terbukti menghasilkan pemain yang berdaya tahan.
Apa yang lebih menarik, latihan berintensiti tinggi ini bukan sahaja dilakukan kepada para pemain skuad utama malah ianya menjadi modul latihan buat pemain di pasukan feeder mahupun skuad Akademi JDT.
Seperti pepatah bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian, inilah yang dilalui oleh kesemua pemain JDT. Menerusi latihan yang keras, mereka menjadi mantap dan mampu memberikan saingan apabila khidmat mereka diperlukan. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.