LAMBAT, PENUH ALASAN DAN TERTINGGAL

Screenshot

Dalam sesi perjumpaan MFL bersama rakan kongsi Liga Malaysia semalam, DYAM Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor sekali lagi mencemar duli hadir dengan cadangan konstruktif demi mengangkat martabat Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Ini bukan kali pertama dan mungkin bukan yang terakhir. Namun persoalan yang wajar ditanya sejauh mana kesungguhan pihak lain untuk benar-benar menyahut usaha ini?

Walaupun JDT kini berada di hadapan dari sudut pencapaian dan struktur pengurusan, TMJ tetap menunjukkan sikap terbuka, turun padang, duduk semeja dan mencari solusi bersama. Rundingan bersama CEO telah berlangsung.

Maka selepas ini semua pihak teruskanlah perbincangan bukan sekadar di bilik mesyuarat tetapi juga bersama para penyokong yang masih setia menyokong bola sepak tempatan. Mereka inilah denyut nadi sebenar liga yang mana suara yang tidak wajar dipinggirkan.

Namun selebihnya kini bergantung kepada pihak lain. Peluang telah dibentangkan dan ruang telah dibuka. Yang tinggal hanyalah keberanian untuk berubah. Buangkan ego, ketepikan hasad dan hadir dengan keikhlasan jika benar mahu melihat Liga Malaysia berkembang. Tanpa semua ini, setiap usaha hanya akan kekal sebagai retorik tanpa hasil.

Bagi JDT, perjalanan tidak akan terhenti. Harimau Selatan akan terus melangkah ke hadapan dengan visi yang jelas dan perancangan yang tersusun. Kepada yang lain, tidak perlu cepat terasa atau berputus asa tetapi harus sedar jika terus berlengah dan sarat dengan alasan maka anda sendiri yang akan tertinggal.

Kini para penyokong semakin celik menilai kredibiliti CEO kelab masing-masing. Individu-individu inilah yang sebenarnya mencorakkan hala tuju pasukan, siapa yang membawa idea dan siapa yang sekadar mengangguk tanpa arah.

Tepuk dada, tanya selera.