24 JANUARI 2012 – DETIK HARIMAU YANG SAKIT DIBERI RAWATAN

24 Januari Dua ribu dua belas. Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Detik awal ceritera kebangkitan Sang Harimau yang telah lama parah. Yang merupakan titik tolak bermula langkah yang lemah kepada gagah.

Ianya terjadi lebih awal dari prediksi 31 Julai yang begitu bernilai juga sebelum peristiwa malam proklamasi 4 September yang telah termeterai.

Seorang individu dari PBNJ yang sering melihat DYAM Tunku Mahkota Johor bermain Polo. Memberanikan diri mencetuskan pujukan secara solo. Memohon agar DYAM Tunku Mahkota Johor memaksa penjarah segera angkat kaki. Organisasi PBNJ perlu segera di perbaiki. Mohon perkenan baginda untuk segera suntik alteratif. Lantas mengambil alih organisasi yang terlalu retrogresif.

Foto: Ezreen Abd Talip

Ketika itu, arena bola sepak Malaysia ini penuh dengan individu yang gemar mengambil kesempatan umpama penjajah. Dari sekecil organisasi sehingga ke sebesar pentadbiran mampu mereka jarah. Modus operandi utama hanya untuk kantung dan wang sekoyan. Inilah yang terjadi dalam PBNJ yang selama ini menjadi modus operandi dalam perkhidmatan.

Malam itu saya menanam niat untuk mengubah nasib bolasepak Johor. Esok harinya saya mengadakan satu mesyuarat dengan PBNJ dan saya memberitahu bahawa setiap seorang daripada mereka perlu mengosongkan pejabat dan meninggalkan persatuan. Ianya memerlukan permulaan yang baru, dan saya tidak mahu individu-individu yang korup untuk merosakkan usaha tersebut”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Dekorasi Seorang Genius

Kegemilangan bola sepak Johor sudah terkubur. Maka untuk memulihkan bukan sesuatu perkara yang mudah. Satu tahun dihabiskan hanya untuk membersihkan semua perkara yang tidak dilakukan secara profesional”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Memperbaiki sesuatu yang telah hampir hancur adalah satu tugas yang amat sukar. Apatah lagi bola sepak Johor telah tidur selama lebih dua puluh tahun akibat dikendalikan oleh individu-individu yang berambisi bangkar.

Paling menyedihkan, apabila DYAM Tunku Mahkota Johor mengetahui bahawa pasukan representasi negeri Johor ketika itu adalah antara pasukan yang dibelenggu dengan barah birokrasi dan korupsi. Meniti era kejatuhan yang memalukan sehingga kebanyakan penyokong beranggapan bola sepak negeri Johor sudah dibunuh, lalu dikebumi tanpa autopsi.

Inkarserasi dalam kubus ruang masa. Berkoyan-koyan rasa gembira dapat dirasa. Setiap tahun tidak lekang dengan kejayaan. Mimpi Bangsa Johor benar-benar menjadi kenyataan. Umpama riba ditimpa sang rembulan. Kurnia dari baginda dengan syukur kita simpan rapi dalam kenangan.

Akhirnya kini, berdirinya Harimau Selatan kini bukan sahaja sebagai sebuah kelab bola sepak dalam identiti yang termutasi, tetapi sebagai kuasa besar yang unggul mendominasi!

Saya tidak dilahirkan dan dididik untuk bercakap kosong. Jika saya bercakap mengenai sesuatu perkara, saya akan laksanakan. Kalau saya berjanji, saya akan berusaha merealisasikan janji itu. Insya’Allah”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

24 Januari, selamanya terpatri.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply