Pejam celik pejam celik kini musim baharu Liga Super Malaysia sudah hampir bermula dengan hanya tinggal kira-kira 17 hari untuk sepak mula dengan Piala Sumbangsih menjadi taruhan awal.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri yang menyaksikan ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 dimana Kuala Lumpur muncul sebagai pemenang.
Namun itu semua cerita lama. Kini JDT sudah menumpukan sepenuhnya perhatian kepada musim baharu dengan penambahan pemain dalam skuad dan kempen pra-musim yang mantap.
JDT pastinya tidak akan menggunakan perlawanan Piala Sumbangsih sebagai medan membalas dendam sebaliknya JDT akan terus menjadi JDT yang dahagakan kemenangan dan mengejar trofi ke 19 dalam sejarah penubuhan kelab.
Menerusi keputusan perlawanan pra-musim di Dubai, bolehlah kita simpulkan sebagai satu keputusan yang baik meskipun ianya bukanlah kayu pengukur sebenar kerana latihan pra-musim adalah tempat di mana barisan kejurulatihan bereksperimen.
Namun apa yang pasti dan dapat dilihat pemain-pemain tempatan dan antarabangsa yang baharu dilihat menyerlah serta mampu mengadaptasi dengan pantas kepada sistem dan corak permainan JDT.
Harimau Selatan muncul satu-satunya kelab yang melakukan latihan pra-musim di luar negara. Ini perlu dilakukan kerana JDT perlu menimba pengalaman beraksi dengan kelab-kelab ternama dunia untuk mengharungi cabaran Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Harapan penyokong pastinya tinggi buat skuad JDT 2022 ini. Namun begitu kita harus bertenang dan percaya dengan perancangan yang telah dibuat oleh barisan kejurulatihan bagi menghadapi musim baharu yang panjang ini.
Tugas kita sebagai penyokong adalah untuk memenuhkan stadium memberi sokongan padu kepada pasukan kita. Dapatkan pas bermusim supaya tidak pening kepala memikirkan isu tiket kerana pasti akan laku keras untuk semua perlawanan di tempat sendiri. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.