15 MINIT SAHAJA DIPERLUKAN JDT UNTUK KE BUKIT JALIL

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menunjukkan Terengganu FC cara bermain bola sepak sebenar apabila mudah membenam mereka di separuh akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Memulakan malam gemilang dengan aggregat 1-1 dan mempunyai kelebihan gol di tempat lawan, JDT tidak menunggu lama untuk menghantar Terengganu pulang kecewa sekali lagi.

Dihadapan 17,450 penyokong setia, JDT mempamerkan aksi luar biasa hingga menyebabkan pasukan lawan hilang punca sekaligus mendiamkan para penyokong mereka yang masih menceritakan isu pengadil.

Dua gol dari mesin gol, Bergson dan satu dari Cabrera dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan sudah cukup untuk membawa JDT sekali lagi ke pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2019.

Ini adalah penampilan keempat JDT di final Piala Malaysia dalam lapan tahun sejak kelab ditubuhkan pada 2013 dan ianya adalah satu pencapaian mengagumkan dengan JDT kini mengintai trofi Piala Malaysia ketiga.

Perbezaan mentaliti dan pendekatan terhadap permainan semalam jelas kelihatan apabila JDT terus fokus kepada memperbaiki mutu permainan tatkala kemenangan dituntut oleh para penyokong.

Para penyokong juga menunjukkan mentaliti kelas dunia apabila tidak menghiraukan segala perdebatan di media sosial tetapi fokus untuk menyokong JDT dengan memastikan stadium dipenuhi.

Tiada laporan pelanggaran SOP mahupun pencerobohan padang berlaku dan ini jelas menunjukkan kematangan dalam budaya menyokong oleh para penyokong JDT yang hadir ke stadium malah penyokong lawan juga dihormati dan diberikan layanan mesra.

Hanya 15 minit diperlukan untuk kita sekali lagi ke Bukit Jalil. Sayangnya kali ini hanya 9,000 penyokong yang dibenarkan masuk namun pasti siapa yang bertuah akan memastikan Bukit Jalil bertukar menjadi Iskandar Puteri.

Tahniah JDT, tahniah para penyokong. Kini Kuala Lumpur menjadi penghalang terakhir untuk kita kekalkan trofi Piala Malaysia di bumi Jauhar. Kepada yang ke Bukit Jalil, jaga diri dan pastikan kita menghormati tatacara di tempat orang.

Bukit Jalil, here we come again. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply