10YEARSCHALLENGE – DI MANA MUNGKIN JDT BERADA PADA 2029

JDT LOGO AT LARKIN STADIUM

 

10YEARSCHALLENGE – DI MANA MUNGKIN JDT BERADA PADA 2029

Kini tular di laman sosial mengenai #10yearschallenge yang mengundang pelbagai reaksi apabila mengenang kembali wajah atau keadaan di tahun 2009. Pelbagai ragam disukai di Facebook dan Instagram dan diulang kicau di Twitter.

Pasukan JDT menerusi laman JOHOR Southern Tigers juga tidak ketinggalan menyajikan transformasi hebat yang berlaku dalam bola sepak negeri Johor. Dari stadium usang berubah menjadi cantik, dari padang yang kosong menjadi pusat latihan yang canggih dipersembahkan oleh JDT.

Malah penyokong JDT juga berkongsi bagaimana dari hanya 10 orang penyokong dahulu, kini teres penuh dengan penyokong yang sentiasa di belakang skuad Harimau Selatan ini.

Tetapi itu semua perkara yang lepas dan menjadi kenangan. Kini masanya untuk bergerak ke hadapan. #10yearschallenge ke tahun 2029. Apa akan jadi pada JDT. Ini sebenarnya misi utama buat pasukan JDT. Semua maklum yang kita sememangnya tidak mampu meramal masa depan tetapi kita perlu bekerja keras untuk memastikan JDT sentiasa terbaik dan masih terbaik.

Menuju 2029, masih kuatkah JDT? Masih punya kekayaan dan kejayaankah? Masih mampu menarik pemain terbaik negarakah? Atau JDT akan dijadikan bahan ketawa berdekah-dekah. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat dalam JDT.

Pemilik pasukan, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sering berpesan agar kita tidak mudah alpa dengan kejayaan yang sedang dikecapi. Baginda mahu legasi JDT diteruskan walaupun jika ditakdirkan beliau tidak lagi mentadbir JDT.

Tapak dan asas JDT perlu dikukuhkan agar ianya tidak boleh dibolak balikkan oleh orang lain. Harus diingat, ramai di luar sana yang mahu melihat kejatuhan JDT. Satu tamparan hebat kepada JDT jika ianya berlaku.

Apa yang diharapkan untuk 10 tahun kehadapan adalah JDT kekal menjadi kelab terbaik di Malaysia dan di Asia. Pemain JDT akan bermain di beberapa kelab terbaik Asia mungkin di Jepun, Korea Selatan dan Asia Barat.

Penyokong masih bersatu hati dan menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang keramat. JDT akan mampu menanggung perbelanjaan kelab sendiri menerusi penjualan cenderahati dan yang paling penting menjadi kelab contoh kepada pasukan lain. Ayuh Johor, Luaskan Kuasamu.

Azrul Hisham, Tampoi

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply