QATAR, ITALI, PSG DAN SELANGOR ‐ SEMUANYA DITAKLUK HARIMAU SELATAN

Apa lagi bukti yang kita mahukan untuk menilai kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Kejayaan demi kejayaan silih berganti hadir ke dalam kabinet trofi Harimau Selatan bermula dari pasukan utama hinggakan kepada pasukan pembangunan dan akademi.

Kekuatan jenama JDT serta kejayaan-kejayaan ini bukan sahaja menarik minat kerjasama dari dalam negara malah kini semakin meluaskan kuasa ke luar negara.

Bulan Januari 2026 baru sahaja memasuki minggu yang pertama tetapi JDT sudah mencipta nama mengatasi pencabar lain dengan kehadiran Presiden Paris St German (PSG), Nasser Al-Khelaifi bersama delegasinya ke Johor menjadi simbolik kunjungan peribadi atas dasar kepercayaan dalam persahabatan dan menjadi kunjungan balas kepada pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail selepas kali terakhir mereka berdua bertemu pada bulan lalu di Doha, Qatar.

Menerusi pertemuan ini, pelbagai perkara dibincangkan dan sudah tentu bola sepak menjadi menu utama dengan kedua-dua pemilik berkongsi latar belakang dan pengalaman serta kejuaraan yang hampir sama.

Qatar dan PSG kini bakal menjalin kerjasama erat sekaligus menjamin masa depan yang cerah buat JDT dan juga buat negeri Johor kerana kita semua maklum akan kekuatan kewangan negara Teluk itu.

Tidak cukup dengan Qatar dan PSG, Pemangku Sultan Johor dan skuad utama JDT menerima kunjungan legenda Itali, Francesco Totti yang memperlihatkan pengaruh besar Tunku Ismail dalam dunia bola sepak.

Banyak perkara dikongsikan bekas juara Piala Dunia itu yang sudah dianggap sebagai dewa oleh penduduk Roma atas kesetiaannya menyarung jersi AS Roma sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.

Mungkin pengiktirafan besar dari luar negara ini tidak dapat dirasai kesannya secara langsung oleh kita para penyokong tetapi JDT tetap JDT dan mereka berjaya memberikan tiga mata penuh dengan menewaskan Selangor di Kelana Jaya.

Kemaraan Harimau Selatan memang tidak dapat disekat Gergasi Merah yang terus mencuba buat tahun kesembilan namun masih gagal sekaligus melihat JDT kekal 11 mata di puncak Liga Super.

Foto: Amrul Azuar Mokhtar – HS

Apa lagi yang hendak kita katakan. Berbanggalah dengan kejayaan-kejayaan ini tetapi tetap berlapang dada dengan menjadi penyokong yang berdisipin walau dimana pun kita berada.

Sentiasa kekal di belakang pasukan kerana ramai di luar sana yang mahukan kejayaan seperti kita. Ingat kejayaan ini tidak akan kekal tetapi bergembiralah sekarang kerana ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.