Harimau Selatan

Page Harimau Selatan

OBRIGADO MARCOS ANTONIO

Obrigado Marcos Antonio

Marcos Antonio Elias Santos satu nama yang sinonim dalam kamus penyokong Harimau Selatan. Pemain kelahiran Brazil ini adalah nadi di dalam pasukan JDT dan menjadi tonggak utama dalam memenangi 11 piala sejak 2014.

Beliau menyertai JDT pada musim 2014. Ditertawakan pada peringkat awal kerana tularnya video kesilapan beliau ketika beraksi di Bundesliga, namun beliau tidak langsung menoleh kebelakang dan terus bekerja keras mengepalai benteng JDT.

 

 

Marcos juga pernah dilantik sebagai kapten pasukan dan ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai ciri-ciri seorang ketua di dalam mahupun di luar padang. Beliau juga percaya dengan kemampuan rakan sepasukan dan ini banyak membantu aksi beliau.

Sebagai penyokong, kita akan berasa lega apabila melihat Marcos diletakkan di dalam kesebelasan utama. Keyakinan akan bertambah kerana kekentalan beliau mengawal pemain lawan terutama pemain import dilihat cukup menyerlah.

 

 

Beliau juga sangat mesra dengan penyokong. Tidak kekok beramah mesra bersama-sama dan melayan kehendak penyokong yang ingin bergambar tidak kira dimana pun beliau berada. Ini yang menjadikan beliau seorang pemain yang dirindui pemergiaannya.

Pernah berhadapan dengan kecederaan yang mampu menamatkan karier beliau, namun Marcos kental menghadapi segala tekanan dan berjaya pulih untuk membantu JDT menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super sekaligus layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.

 

 

Kelibat beliau di dalam padang memberikan aura positif kepada pasukan. Beliau juga berjaya menjaringkan beberapa gol penting dan jarang melakukan kesilapan berprofil tinggi. Cuma faktor usia dan kecederaan kadang kala menggangu aksi beliau.

 

 

Setiap perpisahan itu pahit. Terutamanya melibatkan pemain yang kita sayangi. Namun itulah hakikat kehidupan. Pemain bersilih ganti namun kelab dan penyokong tiada galang gantinya. Tetaplah menyokong walau apa pun rintangan yang datang.

Obrigado – terima kasih dalam bahasa Portugis adalah kata yang paling tepat ditujukan buat kereta kebal JDT, Marcos Antonio. Beliau kini sudah duduk sebaris bersama lagenda Johor yang lain dan tidak mustahil beliau akan kembali sebagai pegawai bersama pasukan JDT.

 

 

Selamat tinggal Marcos Antonio. Jasamu kami kenang sampai bila-bila. Luaskan Kuasamu Johor.

Kamal, Permas Jaya.

Foto: www.asiana.my

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • 1.4K
    Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *