NGAUMAN SELATAN GEGAR ASIA

Ngauman Selatan Gegar Asia

Sekali lagi Stadium Larkin dan 18,600 penonton menjadi saksi kehebatan JDT di pentas Asia. JDT membuktikan mereka adalah pasukan yang paling berjaya di Asia Tenggara tatkala ini untuk kejohanan Piala AFC.

Seperti dijangka, JDT mudah menundukkan Persija Jakarta dengan keputusan 3-0. Jika tidak kerana kecekapakan penjaga gol lawan ianya pasti akan menjadi malam pesta gol buat JDT.

Pujian harus diberikan kepada para pemain import pasukan. Yang paling menyerlah sudah pasti Jorge Pereyra Diaz. Beliau sudah kembali mendapat sentuhan berbisa dan kesemua gol terhasil dari sentuhan beliau.

 

Namun pujian seharusnya diberikan kepada pemain tempatan JDT. Mereka menunjukkan kelas tersendiri dan ini penting kerana pencari bakat pasukan Asia yang lain akan memerhatikan mereka.

Itulah kepentingan bermain di peringkat benua ini.

Hazwan Bakri, Afiq Fazail, Azrif Nasrulhaq, dan Safawi Rasid menunjukkan mutu permainan meyakinkan. Hazwan dan Safawi dengan masing masing satu gol serta Azrif dan Afiq dengan bantuan gol menyerlahkan keberanian dan ketenangan mereka bermain di peringkat yang tinggi.

Safiq Rahim dan Fadhli Shas tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua pasukan serantau tahu akan kehebatan mereka berdua. Perlawanan semalam jelas menunjukkan kematangan dalam diri mereka.

Kredit saya berikan kepada Fadhli Shas. Beliau dilihat semakin tenang mengawal benteng tidak kira dengan siapa pun beliau digandingkan. Dari 5 perlawanan, beliau tidak mempunyai rakan pertahanan tengah yang sama namun sefahaman beliau dengan rakan sepasukan jelas terlihat.

 

Sekarang penyokong akan mula sedar mengapa JDT perlukan Hariss Harun. Beliau selesa diletakkan di posisi bek tengah mahupun pemain tengah bertahan. Ketenangan beliau patut menjadi contoh kepada para pemain muda JDT. Walaupun ada satu kesilapan yang nyaris memberikan gol percuma kepada lawan, namun beliau utuh untuk keseluruhan perlawanan.

Selamat kembali diucapkan kepada Farizal Marlias. Walaupun beliau tidak diuji namun “clean sheet” yang dicatat pasti memberi semangat baru kepada beliau. Hantaran jauh beliau juga membantu menghasilkan gol ketiga JDT.

 

Persija Jakarta turun tanpa 5 pemain utama. Ini kerana mentaliti mereka yang lebih mengejar kejuaraan pra musim berbanding memberi fokus kepada kejohanan benua. Namun pemain yang diturunkan semalam bukanlah pasukan kedua kerana kebanyakan pemain ini bermain lebih 24 perlawanan pada musim lepas.

Pemain JDT perlu berehat seketika dan kembali berlatih selepas cuti Tahun Baru Cina. Ini kerana mereka perlu melalui 6 perlawanan dalam tempoh 18 hari bermula 24 Februari dengan 4 darinya di tempat lawan.

Barisan kejurulatihan pasti sudah bersedia dengan jadual yang padat ini. Penggiliran pemain sangat penting ketika tempoh ini untuk memastikan tiada kecederaan serius berlaku.

JDT akan bertemu wakil Vietnam, Song Lam Nghe An dan wakil Singapura, Tampines Rovers dalam saingan Piala AFC seterusnya. Diharapkan ramai lagi pemain tempatan boleh diturunkan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada Corbin Ong, Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz.

 

Selamat maju jaya buat JDT di kejohanan Piala AFC. Buktikan ngauman selatan tidak akan berhenti dan sama sama kita memberikan sokongan padu kepada pasukan.

Jadual Perlawanan JDT:

24/02 – Melaka United (H)

28/02 – Song Lam Nghe An (A)

03/03 – Sabah (A)

06/03 – Tampines Rovers (A)

10/03 – Terengganu FC (A)

14/03 – Tampines Rovers (H)

 

Luaskan Kuasamu Johor

“Success is no accident. It is hard work, perseverance, learning, studying, sacrifice and most of all, LOVE of what you are doing or learning to do..” – Pele

 

(Foto: www.asiana.my)

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply