JDT PENYUMBANG EKONOMI DAN KEGEMBIRAAN

JDT – Penyumbang Ekonomi dan Kegembiraan.

“Lebih daripada 70 peratus penguasaan bola. Hilang fokus dan anda akan dihukum. Itulah bola sepak. Tahniah kepada Terengganu. Jumpa anda di Larkin. Ayuh pemain JDT, dongakkan kepala anda. Teruskan bekerja keras. Ingatlah dalam kehidupan, “It’s not how you start, it’s how you finish” – DYAM Tunku Mahkota Johor

Berada di Kuala Terengganu untuk menyaksikan pertembungan separuh akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu banyak membuka mata saya tentang pentingnya JDT dalam arena bola sepak tempatan.

Untuk pasukan sehebat JDT, sudah pasti banyak peminat tempatan menunggu detik ini untuk sama-sama meraikan ketibaan pasukan di Terengganu. Perlawanan ini menjadi buah mulut warga tempatan dengan semuanya teruja menunggu sepak mula.

Seawal pagi penyokong Terengganu sudah berpusu-pusu ke stadium untuk mendapatkan tiket. Perlawanan terakhir musim ini di Kuala Terengganu tidak mahu dilepaskan peminat walaupun terpaksa berpanas dan bersesak-sesak.

Benarlah kata orang, JDT menjadi penyumbang kepada ekonomi pasukan lawan. Jika perlawanan lain, stadium kelihatan sepi tetapi bertemu JDT stadium padat, penyokong membeli barangan cenderahati pasukan dan peniaga jalanan juga menerima kesan rezeki dengan kedatangan JDT.

 

 

Selain membantu dari segi ekonomi, JDT juga berjaya membawa kegembiraan kepada seluruh rakyat negeri Terengganu. Bukan mudah untuk menewaskan JDT dan apabila JDT tewas, mereka bergembira.

Sambutan di dalam stadium seolah-olah Terengganu sudah menjuarai Piala Malaysia. Di luar stadium suasana jalan raya cukup meriah dengan tona hitam putih dan sorakan yang tidak putus-putus oleh mereka.

Gembira bukan kepalang kerana Terengganu berjaya mengalahkan JDT. Kredit kepada penyokong Terengganu yang mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dengan tidak langsung membuat provokasi terhadap penyokong JDT.

 

Artikel ini ditulis di tepi pantai batu buruk sambil menikmati ikan celup tepung dan keropok lekor. Wajah-wajah ceria warga Terengganu dapat dilihat kesan kemenangan semalam. Terima kasih penyokong Terengganu. Jemput ke Larkin kerana kita masih ada 90 minit lagi untuk menentukan siapa yang bakal ketawa ke Shah Alam

Rizal, Masai

 

Foto: Ahmad Riduan – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply