BUNGA API AIDILFITRI

Foto: Ezreen Abd Talip
Bunga Api Aidilfitri JDT
Hajat JDT untuk mencipta sejarah selaku pasukan pertama menjuarai Liga Super 5 tahun berturut-turut dilihat semakin menghampiri mereka. Kejayaan menumbangkan tiga pencabar terdekat Liga Super sepanjang Ramadan dan Aidilfitri memperlihatkan mereka selesa 13 mata di persada liga.
Kini JDT hanya perlu menang 2 dari baki 6 perlawanan untuk bergelar juara. Lambaian Liga Juara Juara Asia kian menggamit pasukan dan penyokong JDT. Satu lagi sejarah baru akan dicipta kelab selatan tanah air ini.
Jika dilihat pada prestasi semasa, tiada apa yang mampu menjadi penghalang kecuali pasukan JDT itu sendiri. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai membangkitkan keyakinan pemain bahawa mereka adalah penguasa liga di kala ini.
Setelah mengharungi 16 perlawanan JDT hanya kerugian 7 mata dari mata maksimum. Hanya perlawanan di Lembah Klang sahaja JDT gagal memungut mata penuh.  Kesemua wakil Lembah Klang, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC berjaya merampas mata dari JDT. Jadi kita boleh katakan Lembah Klang adalah kripton kepada JDT.
Syabas diucapkan kepada pasukan. 5 perlawanan awal ditempuh dengan jayanya. 5 perlawanan kemudiannya diharungi tanpa kelibat pemain import dan 5 perlawanan di bulan Ramadan berjaya dilalui dengan megah. 31 jaringan 6 bolos dan 13 mata dihadapan cukup meletakkan JDT satu tahap di atas pasukan lain.
Berbaki 6 perlawanan dengan 2 daripadanya di Larkin sudah pasti memberikan lebih keyakinan kepada pasukan dan penyokong yang setia. Kuala Lumpur dan Kelantan perlu ditewaskan demi merealisasikan impian menjadi wakil sulung Malaysia beraksi di peringkat tertinggi Asia.
4 perlawanan di tempat lawan menentang Melaka, Perak, Kedah dan PKNP perlu diharungi dengan tenang bagi memastikan JDT tidak keciciran mata. Meskipun sudah bergelar juara, pasukan lawan pasti ingin mencalarkan imej JDT dengan mencuri kemenangan sekaligus mampu berbangga dengan “Piala mengalahkan JDT”.
Di bawah kepimpinan ketua pasukan baharu Hariss Harun, JDT dilihat lebih stabil dan tenang di atas padang. Hariss membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang kapten yang berpengaruh meskipun ada Safiq Rahim, Aidil Zafuan dan Marcos Antonio di dalam pasukan.
Hariss lebih tenang dalam membuat keputusan dan kurang menimbulkan pergeseran antara pemain lawan serta pengadil.
Ratio kemenangan beliau sebagai kapten juga cukup baik dengan rekod tanpa tewas dan seri 2 kali dari 9 perlawanan.
Marilah meraikan kemeriahan Syawal sebentar sebelum menyambung perjuangan yang masih belum selesai. Apa yang boleh dilakukan pasukan adalah kekal fokus dan memastikan diri masing-masing bebas dari kecederaan.
Bukan mudah untuk menjadi juara liga 5 kali berturut-turut. Namun dengan fasiliti kelas dunia dan pembangunan pasukan yang serius dan berdisiplin, jelas JDT mempunyai cukup ramuan untuk kekal konsisten dalam mendominasi liga.
Luaskan Kuasamu Johor
Salleh Ahmad, Kluang
  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply